Anak Muda Pilih BN, Mahu Kestabilan Dan Kemakmuran Johor

JOHOR BAHRU, 22 Feb – Presiden Ikatan Anak Mersing, Muhammad Syukri Ibrahim berpandangan rakyat khususnya golongan muda semakin matang dalam menilai pengalaman ketika berada dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, kesedaran itu sekaligus meningkatkan gelombang sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memastikan Johor terus ditadbir oleh parti gabungan ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac ini.

“BN adalah satu kerajaan yang stabil berbanding dengan PH ataupun PN yang ada sekarang ini kita adalah bercampur dan kurang stabil jadi anak muda melihat masa depan… 22 bulan telah diberi percubaan, 17 bulan berada dalam PN pun mereka melihat sebagai satu testimoni kerajaan campuran.

“Apabila BN mengambil alih kestabilan itu nampak lebih unggul dengan pengalaman dimiliki. Kita tahu apa yang hendak dicorak negara ini jadi untuk kempen kali ini saya rasa orang muda melihat masa depan mereka mahukan kestabilan… itu ada pada BN.

“BN merupakan parti yang lebih stabil kita dapat lihat trek rekod di PRN Melaka dan Sarawak yang mana gelombang sokongan rakyat telah berubah dan telah pergi ke BN kita yakin kerana rakyat sudah sedar orang muda yang mula mengundi pun tahu membezakan kerana kita sudah ada tiga kerajaan yang mentadbir negeri ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Bercakap mengenai pengundi baharu, beliau yang juga Bendahari BN Mersing merangkap Ketua Cawangan UMNO Endau berkata pelbagai pendekatan yang dilakukan beliau untuk mendekati golongan ini di samping mendengar permasalahan serta idea baharu untuk diketengahkan.

Jelas beliau di samping melakukan pelbagai aktiviti, kaedah mendekati menggunakan sosial media juga turut diterapkan agar selari dengan peredaran masa.

“Kita banyak buat program dalam acara sukan fun run dan juga takraw tertutup serta banyak lagi perkara ini yang dilakukan untuk mendekati orang muda tapi dalam PRN ini kita tahun kita perlukan permainan angka untuk menang.

“Selain daripada program sukan, ziarah terutama keluarga muda yang baru mendirikan rumah tangga kerana mereka memerlukan maklumat dan kita tahu adakala info diberikan sampai tapi ada juga yang tidak seperti bantuan-bantuan yang diberikan kerajaan antaranya berkenaan pendidikan maklumkan biasiswa yang ada, intitusi pengajian tinggi dan lainn-lain.

“Kalau lihat pertambahan jumlah seluruh negeri ini adalah 28 peratus 750,000 pengundi muda tidak terlepas di Mersing kami juga menggunakan sepenuhnya sosial media sebab kita tahu mereka berada dalam ruangan tersebut jadi ini adalah platform utama mereka berkomunikasi dan meluahkan pandangan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib