25,000 Usahawan Tekun Nasional Disasar Mencarum Skim SKSPS Perkeso – Noh

JOHOR BAHRU, 22 Feb – Tekun Nasional menyasarkan 25,000 usahawannya mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi ‘Kempen Mencarum Perkeso Usahawan Tekun’.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata kempen dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) itu dilaksanakan dengan matlamat meningkatkan kesedaran golongan usahawan mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial, di samping menggalakkan golongan itu mencarum dengan Perkeso.

“Sehingga kini 16,830 orang usahawan Tekun telah mencarum di bawah SKSPS. Justeru, kempen ini mendokong matlamat untuk menarik lebih ramai usahawan Tekun untuk mencarum SKSPS.

“Saya juga berharap Tekun Nasional dapat memikir dan mempertimbangkan bagaimana cara supaya semua usahawan ini dapat diwajibkan untuk mencarum dengan Perkeso sepanjang tempoh pembiayaan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan yan turut hadir di majlis pelancaran hari ini menyifatkan inisiatif itu penting untuk memastikan jaringan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS), khususnya dalam kalangan usahawan di Malaysia.

“Di bawah SKSPS, golongan usahawan dan peniaga akan dilindungi daripada bencana pekerjaan sendiri termasuklah penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan rekod sehingga 18 Feb, sebanyak 360,469 atau kira-kira 15 peratus OBS di seluruh negara telah mencarum dengan SKSPS dari jumlah keseluruhan OBS di negara ini iaitu kira-kira 2.38 juta.

Sementara itu, menurutnya lebih RM6 juta telah dibayar oleh Perkeso kepada 2,142 penerima faedah dalam kalangan OBS.

Jumlah itu termasuk 169 penerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang diterima oleh waris OBS bagi kes yang melibatkan kematian semasa menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.