Tidak Perlulah Perguna Modal Agama Untuk Kempen Politik, Rakyat Sudah Matang – Asyraf

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta agar tidak perlulah mana-mana pihak memperguna modal agama untuk kempen politik.

Tegasnya, rakyat sudah matang dan mahu melihat tawaran dasar dan polisi.

“Kononnya dapat pahala, dosa bila sokong satu-satu parti. Guna pula nama Allah kononnya laknat parti itu dan ini.

“Rakyat sudah matang dan mahu melihat tawaran dasar dan polisi bukan fatwa politik untuk sokong sesebuah parti,” ujarnya dalam kenyataan pendek menerusl laman facebooknya, hari ini.

Dalam hal berkaitan, beliau yang menjawab dalam komennya juga menjelaskan bahawa kenyataannya tidak maksudkan meninggalkan agama dalam berpolitik.

“Yang saya maksudkan jangan sewenangnya menghukum dan memfatwa mana-mana parti atas kecenderungan politik masing-masing.

“Cukuplah zaman kafir-mengkafir dan lelongan syurga neraka satu ketika menjadi pengajaran bagaimana ikatan ukhuwah boleh terputus hanya kerana perbezaan pegangan ideologi parti.

“Rakyat hari ini sudah matang dan berbeza neraca pertimbangan mereka. Biarlah tawaran polisi dan dasar jadi sandaran untuk berkempen daripada memulakan memfatwa dosa pahala dan syurga neraka sewenangnya kepada seteru politik yang hanya menghancurkan ummah dan memalukan kita orang Islam.”

Terangnya lagi, sebagaimana UMNO tidak sempurna kerana yang mendukongnya hanya manusia biasa yang tidak terlepas daripada dosa dan noda, begitu juga parti-parti lain yang bukan sesekali dianggotai malaikat yang tiada langsung kesilapan.

“Tetapi untuk menghukum parti secara menyeluruh hanya kerana kesilapan dan kesalahan segelintir bukan prinsip keadilan yang diajar Islam,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.