Syabas Jentera BN Hidu Percaturan Licik PN/PH Dan Serang Balas Dengan Fakta

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan syabas kepada jentera BN yang menghidu percaturan licik Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) serta melakukan serangan balas untuk menyelamatkan Bangsa Johor daripada terpedaya sekali lagi.

Kata Presiden UMNO itu, ini ekoran maklumat daripada jentera BN bahawa PN sedang melancarkan serangan terhadap BN di kawasan majoriti Melayu manakala PH menumpukan serangan bertali arus terhadap BN di kawasan majoriti bukan Melayu di sekitar negeri Johor.

“Saya dimaklumkan juga tentang PN/PH menggunakan modus operandi sama digunakan PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk memerangkap rakyat Johor.

“Merekayasa pelbagai helah, tipu muslihat dan propaganda termasuk memanipulasi hukum agama untuk memburuk-burukkan BN. Mengulangi fitnah lama dan menjaja tindakan mahkamah yang mereka sendiri kenakan terhadap pimpinan BN semasa mereka berkuasa.

“Seperti PRU-14, senjata utama mereka serangan peribadi ke atas pimpinan BN bagi menyemat kebencian dalam minda dan jiwa pengundi Johor,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Ujar Ahmad Zahid lagi, serangan balas yang dilakukan jentera BN secara berfakta, berhemah, matang dan sejahtera bagi melawan kebatilan yang dibawa PN/PH untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Bagi saya maklumat itu bukan sesuatu yang mengejutkan berdasarkan salasilah kedua-dua gabungan parti politik itu berasal daripada DNA yang sama.

“Kita masih ingat PPBM yang mengepalai PN ditubuhkan sebelum PRU-14 adalah untuk menyertai PH menentang BN.

“PPBM memainkan peranan penting menghasut, memujuk orang Melayu memberi undi kepada PH yang dibarisi DAP, PKR dan PAN,” bidasnya lagi.

Ulas Ahmad Zahid lagi, kini pada waktu BN menjanjikan kestabilan mutlak akan dikembalikan di Johor, PN/PH kembali dengan politik tipu daya dan ‘barbaric’ mereka.

Justeru tegas Ahmad Zahid, PRN Johor yang perlu diadakan pada 12 Mac ini demi kestabilan merupakan satu ujian cukup besar buat semua pendukung parti.

“Apakah kita masih mengingati nasib buruk Johor alami sepanjang 22 bulan negara ditadbir PH dan 17 bulan di bawah pentadbiran PN.

“Apakah kita akan masuk perangkap yang sama pada PRU-14 masa jua akan menentukan apabila tibanya hari tersebut,” ujarnya.

Begitu juga Ahmad Zahid menyeru rakyat agar yakin bahawa BN tidak akan sesekali hilang keyakinan terhadap kebijaksanaan Bangsa Johor dalam membuat keputusan berhubung masa depan mereka.

“BN tidak akan sesekali berpaling daripada usaha mengembalikan kestabilan, kesejahteraan, kejayaan dan kemakmuran yang dirampas daripada rakyat Johor pada 9 Mei 2018,” tekadnya. – UMNOONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.