UMNO Kekal Relevan Kerana Formula Membela Rakyat Jadi Keutamaan – Bung

KOTA KINABALU, 20 Feb – UMNO berjaya melalui pelbagai ujian sepanjang sejarah hayatnya yang berusia 75 tahun kerana berpegang kepada formula membela nasib rakyat keseluruhan, bukan berjuang untuk ahli parti semata-mata.

Demikian dinyatakan oleh Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam perutusannya yang dikeluarkan di sini sempana sambutan 31 tahun UMNO bertapak di negeri di bawah bayu esok (21 Febuari).

Bung berkata dalam kontek Sabah banyak liku dan cabaran telah dilalui oleh UMNO sebaik sahaja melebarkan sayapnya ke negeri ini dan saat yang paling menyedihkan selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) sehingga ada tomahan beberapa pihak UMNO akan ditalkinkan di Sabah ketika itu.

Katanya, ujian turut melanda UMNO Sabah, ketika itu, apabila tindakan beberapa pemimpin bahagian meletakkan jawatan menyertai parti lain menyebabkan ahli berada dalam delima persimpangan.

“Kita lihat ujian yang berlaku secara positif, disebalik langkah mereka yang meninggalkan perjuangan bersama UMNO, alhamdulillah, kita masih memiliki pemimpin dan ahli yang berperinsip dan setia kepada perjuangan parti, menjadikan UMNO Sabah lebih matang, kukuh dan berpengalaman menghadapi cabaran yang sehingga kini tidak ada satu bahagian pun UMNO di Sabah dibubarkan” katanya

Menurut Bung, UMNO mampu bertahan kerana parti mementingkan bukan saja ahli malah rakyat jelata (keseluruhannya) yang menilai setiap gerak-geri, tindakan dan keputusan yang dilakukan

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, bagaimanapun mengakui bahawa perubahan zaman telah membawa bentuk cabaran baharu kepada parti hingga menguji kaedah-kaedah yang digunakan parti untuk mendepaninya.

Beliau menyebut tentang kepantasan penyebaran fitnah yang dahsyat melalui media sosial dan internet. Secara tidak langsung, semua itu membawa impak persepsi yang dilihat lebih penting daripada realiti.

“Namun kesedaran dan kefahaman rakyat kini lebih jelas segala proganda,fintah yang dilimparkan terutamanya di media sosial sebenarnya hanya proganda pembangkang, keyakinan rakyat kepada UMNO/BN kembali kukuh setelah kita melihat pencapaian parti dalam beberapa siri PRK, dan terkini PRN Melaka dan selepas ini kita optimis PRN Johor UMNO/BN akan mencipta satu kejayaan baharu,” tambah Bung.

Bung yang juga Ketua UMNO bahagian Kinabatangan menambah apa juga perubahan persekitaran, parti ini mesti mampu menyesuaikan dirinya agar kekal menjadi parti yang relevan pada masa kini dan akan datang.

“Rakyat yang akhirnya akan menentukan masa depan UMNO memandangkan parti ini yang mengamalkan sistem demokrasi,” katanya.

Bung berkata, meskipun banyak kebaikan yang dilakukan oleh UMNO/BN namun, cabaran ketika ini amat berbeza kerana rakyat sedang berdepan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Rakyat mahu kerajaan yang dapat membantu mereka yang kini hidup terhimpit serta menyelasaikan isu isu yang tertunggak,” katanya.

Menurut Bung UMNO tidak boleh bersandar semata-mata kepada sejarah, tetapi mesti menunjukkan bahawa sebagai sebuah parti yang telah lahir 75 tahun lalu dan 31 tahun bertapak di Sabah, UMNO perlu tetap relevan dan menjadi parti pilihan rakyat.

“Kita mesti menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran kerana sehebat mana pun kita, jika tidak mahu melakukan perubahan, kedudukan parti ini akan tergugat,” katanya. – UMNO Online