Jangan Manipulasi Agama Ikut Selera Politik – Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan keyakinan beliau dengan kematangan rakyat di Johor dalam menentukan parti yang benar-benar komited membawa perjuangan rakyat.

Katanya, ini kerana UMNO ternyata berbeza dengan agenda pihak lain yang hanya menggunakan agama demi kepentingan dan kelangsungan parti mereka.

“Barisan Nasional (BN) berpolitik tentang dasar, polisi dan hala tuju terbaik untuk negara demi menjamin kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat. Maka memang wajarlah nasihat saya sebelum ini janganlah ada pihak memanipulasi hukum agama mengikut selera politik.

“Agama tidak boleh dipisahkan daripada politik, tetapi mereka-reka dalil palsu untuk agenda politik apakah hukumnya? Seingat saya ini adalah dalil rekaan beliau yang seterusnya selepas mengeluarkan dali Pas parti ajaran sesat.

“Selepas “hijack” Muafakat Nasional dan mengumpan pimpinan Pas kini membuat dalil meninggalkan UMNO suatu ibadah. Insya-Allah kita yakin umat Islam Malaysia khususnya di Johor tidak akan terpengaruh dengan dalil beliau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menambah individu yang dimaksudkan beliau itu mungkin terlupa bahawa jawatan yang dipegang beliau ketika ini adalah kerajaan yang dibentuk bersama beberapa ahli Parlimen UMNO.

“Barangkali beliau terlupa untuk melakukan ibadah yang beliau dalilkan dengan meninggalkan jawatannya atau sebenarnya beliau lebih takut akan tertekan butang berbanding menunaikan ibadahnya itu.

“Kita terus terus hidup sentosa sesama kita meskipun berbeza ideologi politik. Kita tolak fahaman pelampau politik,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.