Rintihan Berterusan Rakyat Harapkan Pengeluaran KWSP – Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluahkan bahawa beliau didatangi seorang lelaki yang berdepan beban kewangan dan mengharapkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, beliau kecewa apabila berterusan
mendengar rintihan rakyat yang berharap supaya mereka dibenarkan membuat pengeluaran terakhir wang KWSP.

“Baru-baru ini saya didatangi seorang lelaki semasa makan di sebuah restoran di Johor dan dalam nada penuh sebak pakcik itu berkata pada saya yang dia amat perlukan pengeluaran wang KWSP RM10,000 kerana masih belum dapat pekerjaan yang stabil sejak kehilangan kerja disebabkan pandemik.

“Lelaki itu menyatakan dia amat memerlukan wang tersebut untuk menampung perbelanjaan anaknya di universiti. Dia merayu saya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya terus memperjuangkan pengeluaran terakhir wang KWSP sebanyak RM10,000 secara “one-off”.

“Saya katakan padanya Insya-Allah dan berdoalah semoga dipermudahkan usaha itu kerana kita tidak pernah berundur dalam perkara tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga memaklumkan bahawa dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi membentangkan berkenaan isu ini.

Ahmad Zahid menerusi hantaran sama memaklumkan bahawa seperti pernah diakui ramai pihak termasuk menteri kewangan pengeluaran wang KWSP meningkatkan aliran tunai dalam ekonomi.

“Bagi mereka tidak memerlukan boleh sahaja tidak memohon pengeluaran tersebut, namun realitinya masih ramai menghadapi kesulitan kewangan.

“Saya faham ramai rakyat berasa kecewa dalam isu wang KWSP, tetapi mungkin majoriti mereka sudah dapat suatu gambaran jelas di sebalik isu ini,” ujar beliau.

Beliau juga malah berharap bahawa tiada campur tangan politik dalam isu pengeluaran KWSP secara ‘one-off’ RM10,000 kerana kebajikan rakyat adalah perkara terpenting pada ketika ini.

“Kebencian anggota pentadbiran kerajaan daripada parti politik tertentu terhadap BN yang terdedah menjelang Pilihan Raya Negeri Johor merumuskan sesuatu.

“Membenarkan pengeluaran KWSP barangkali memberi merit politik kepada BN, kerana itu mereka berpakat membantah rakyat mengeluarkan sedikit lagi wang KWSP mereka.

“Jika gambaran itu benar maka sangat tidak bertanggungjawab pimpinan parti politik itu sanggup memangsakan rakyat untuk agenda politik mereka,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.