Zahid Takkan Sanggup Gadai UMNO, Simpati Lihat Karakter Mahiaddin Berdepan PRN

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan simpati beliau dengan tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Mahiaddin Yasin yang kini memperlihatkan karakter beliau sedang tertekan, terdesak dan keresahan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, beliau berlapang dada dan mendoakan semoga Mahiaddin diberikan kesihatan yang baik meskipun pelbagai tohmahan dilemparkan oleh bekas Perdana Menteri itu terhadap dirinya ketika sesi ceramah politiknya yang berlangsung baru-baru ini.

“Saya sebenarnya berasa simpati terhadap beliau yang resah untuk berdepan PRN Johor sehingga meroyan dan meranyah sebegitu buruk. Jika benar saya marah beliau tidak mahu melepaskan kes mahkamah pastinya beliau tidak mampu jadi Perdana Menteri sehingga 17 bulan lamanya.

“Jika benar saya marah beliau tidak mahu melepaskan kes mahkamah pasti sudah lama Malaysia berdepan PRU-15 (nota ini bukan ugutan tekan butang) malah saya cekal menghadapi pendakwaan terpilih yang dikenakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap saya di atas prinsip berani kerana benar,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga menegaskan bahawa beliau juga tidak akan sesekali sanggup menggadaikan UMNO apatah lagi melompat parti mahupun berselingkuh dengan musuh untuk mengelak daripada didakwa.

Katanya lagi, sekiranya mahu terlepas daripada pendakwaan terpilih tersebut beliau boleh sahaja mengabaikan mandat akar umbi UMNO menolak kerjasama Bersatu namun perkara tersebut tidak berlaku.

“Tetapi haruskah saya melanggar amanah itu? Seseorang yang yakin dirinya tidak bersalah satu-satunya yang diharapkan cumalah perbicaraan yang adil dan saksama. Sebenarnya kita harus berasa sangsi dengan dakwaan yang dibuat oleh seseorang yang telah terbukti mampu untuk berbohong dan memutarbelit apa sahaja demi kuasa.

“Sehingga sanggup memutarbelit titah Yang di-Pertuan Agong tentang Ordinan Darurat untuk berbohong kepada Parlimen, malah tergamak menipu nama sebenar. Sanggup merancang scheme of things yang melanggar undang-undang dan prinsip demokrasi bagi ‘membeli’ sokongan wakil rakyat supaya bertambah berkuasa.

“Sanggup menawarkan sogokan secara terbuka di kaca TV kepada ahli Parlimen supaya menyokongnya kekal sebagai Perdana Menteri. Saksikan sekutu politiknya sendiri semasa PRU-14 yang kemudian menjadi seteru selepas berpecah turut berdepan pendakwaan semasa beliau memegang kuasa Perdana Menteri,” ujar beliau.

Meskipun begitu, ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga turut meluahkan kekesalan apabila Mahiaddin bertindak dengan tidak matang apabila mengaitkan almarhum bapa beliau dalam serangan politik tersebut.

“Ramai bertanya apakah saya tidak geram dengan perbuatan Mahiaddin mempermainkan nama bapa saya untuk ditertawakan oleh penyokong PN? Saya juga seperti anda semua anak kepada seorang ayah. Allahyarham Haji Raden Hamidi Haji Raden Abdul Fateh bapa yang sangat saya kasihi dan sayangi.

“Sebagai anak pastinya saya berasa sedih apabila nama bapak dipermainkan dan dihina sebegitu rupa oleh bekas menteri kerajaan PH itu di khalayak ramai. Ayuh rakyat Malaysia janganlah kita seperti itu hanya kerana berbeda pendirian politik sehingga pupus nilai kemanusiaan dan kesopanan sesama kita.

“Itu bukan politik yang matang dan sejahtera. Bukan itu nilai politik yang mahu kita wariskan kepada pengundi muda kita dan generasi masa hadapan negara. Hal ini tidak boleh disamakan dengan pendedahan saya tentang nama sebenar seorang pemimpin politik berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beberapa tahun lalu,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.