Sokongan Rakyat Tahap Terbaik, Mereka Mahu UMNO/BN Kembali Jadi Kerajaan

JOHOR BAHRU, 18 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan melihat momentum sokongan rakyat Johor kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir kembali negeri ini sangat tinggi.

Katanya, pandangan itu berdasarkan pemerhatian beliau ketika melakukan siri kunjungan ke beberapa UMNO bahagian di negeri itu bagi melihat persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya sudah pergi 21 kawasan Parlimen daripada 26 dan bertemu dengan jentera UMNO. Apa yang saya dapati bahawa semangat jentera untuk mengembalikan BN memerintah negeri Johor ini sangat tinggi dan mereka ada keyakinan.

“Bagaimanapun saya menyatakan pada mereka untuk teruskan usaha-usaha dan jangan terlalu yakin namun kita harap mereka terus dibantu oleh negeri angkat memantapkan jentera pilihan raya.

“Saya datang pun menyatakan perancangan jadi sehari dua lagi ianya akan dilaksanakan, saya harap perkara ini membawa kebaikan kepada kita,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Ahmad terdahulu pada minggu lalu ke UMNO Bahagian Labis dan Sekijang mendengar taklimat dan perbincangan bersama kepimpinan bahagian dan jawatankuasa dalam merangka strategi untuk BN menawan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen berkenaan.

Beliau sebelum ini juga ke Mersing, Kota Tinggi, Tebrau dan Tenggara sebelum ke Kulai, Pengerang, Ledang, Muar, Bakri dan beberapa bahagian lain.

Sementara itu Ahli Parlimen Pontian itu berpandangan rakyat perlu memahami keperluan untuk mengadakan PRN ini dan tidak terpedaya dengan dakwaan pihak lain terutama pembangkang yang mengatakan pilihan raya ini adalah disebabkan sikap tamak kuasa BN.

Tambah beliau, perkara utama yang mendorong pembubaran DUN adalah kerana bilangan kerusi yang dimiliki kerajaan dan pembangkang adalah sama jika kiraan termasuk Speaker, wakil dari parti pembangkang Amanah.

“Dari segi naratif utama yang saya ingin kongsikan di sini ialah 27 pembangkang 28 kerajaan kerusi DUN sebelum dibubar tetapi apabila berada di DUN dicampur dengan Speaker parti Amanah ianya sudah menjadi 28-28.

“Jadi ini bermakna sudah seri maksudnya DUN tergantung macam mana hendak melakukan kerja kalau Speaker digantikan dengan timbalan pun sama juga kerana dari Dap? Jadi masih lagi tergantung 28-28 ini satu naratif penting yang perlu difahami rakyat kesukaran untuk melaksanakan pentadbiran.

“Bagaimana hendak memerintah dalam satu suasana seri yang menyebabkan DUN tergantung. Saya harap ia diberi kefahaman kepada rakyat macam-macam mereka menuduh kita gila kuasa dan sebagainya kalau kita gila kuasa tidak ada PRN,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.