G-Smart Tuisyen, Program Makanan Percuma Dapat Suntikan RM3.45 Juta

IPOH, 18 Feb – Sebanyak RM3.45 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi melaksanakan Smart G- Tuisyen dan Program Makanan Percuma kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata peruntukan turut disumbangkan oleh enam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) antaranya Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak sebanyak RM1 juta, Lembaga Air Perak (RM750,000) Perbadanan Menteri Besar Perak (RM700,000), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (RM500,000), dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (RM100,000).

Beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk menyalurkan RM400,000 sebagai sokongan penuh kepada 33,119 orang pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia di negeri ini.

Katanya pemberian tuisyen dan bantuan makanan secara percuma kepada murid atau pelajar daripada keluarga miskin, B40 dan M40 dengan tumpuan khusus dapat melonjakkan prestasi akademik mereka.

“Program ini juga memberi tumpuan membantu murid atau pelajar berprestasi sederhana dengan meningkatkan potensi dan keupayaan mereka dalam akademik,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Smart G- Tuisyen dan Program Makanan Percuma Pelajar SPM, SVM, STPM dan STAM 2021 di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani yang turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Ahmad Saidi Mohamad Daud di sini hari ini.

Saarani berkata kesemua inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri adalah bagi memastikan setiap pelajar mempunyai hak yang sama untuk belajar dalam persekitaran pembelajaran dan pengajaran tanpa halangan tidak kira di bandar mahu pun luar bandar.

Sementara itu, Saarani berkata golongan pendidik di negeri ini diminta tidak bersara lebih awal daripada profesion perguruan semasa tempoh pandemik COVID-19.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat terdapat golongan pendidik yang membuat keputusan secara drastik dengan mengambil keputusan untuk bersara sebelum menjangkau usia persaraan kerana sudah hilang fokus dan mengalami tekanan kerja yang berlebihan.

“Saya tiada angka (jumlah guru bersara awal), saya menerima maklumat daripada Pegawai Pendidikan Daerah di Hulu Perak yang melaporkan ada guru-guru yang hilang fokus dan ada yang patut pencen umur 60 tahun tapi pencen awal. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.