Fahami Keperluan PRN Johor, Jangan Terpedaya Anasir Pembangkang – Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU, 17 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap rakyat khususnya di Johor memahami keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berharap rakyat tidak terpedaya dengan dakwaan pihak lain terutama pembangkang yang mengatakan pilihan raya ini adalah disebabkan sikap tamak kuasa Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, mereka perlu memahami bahawa perkara utama yang mendorong pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah kerana bilangan kerusi yang dimiliki kerajaan dan pembangkang adalah sama jika dimasukkan speaker yang juga daripada parti Amanah.

“Dari segi naratif utama yang saya ingin kongsikan di sini ialah 27 pembangkang dan 28 kerajaan kerusi DUN sebelum dibubar tetapi apabila berada di DUN dicampur dengan speaker parti Amanah ianya sudah menjadi 28-28.

“Jadi ini bermakna sudah seri maksudnya DUN tergantung macam mana hendak melakukan kerja kalau speaker digantikan dengan timbalan pun sama juga kerana dari Dap? Jadi masih lagi tergantung 28-28 ini satu naratif penting yang perlu difahami rakyat kesukaran untuk melaksanakan pentadbiran.

“Kerana bagaimana hendak memerintah dalam satu suasana seri yang menyebabkan DUN tergantung. Saya harap ia diberi kefahaman kepada rakyat macam-macam mereka menuduh kita gila kuasa dan sebagainya kalau kita sebegitu sudah tentu tidak ada PRN,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau yang Ahli Parlimen Pontian juga melihat momentum sokongan rakyat Johor kepada UMNO dan BN untuk mentadbir kembali negeri ini sangat tinggi.

Katanya, pandangan itu berdasarkan pemerhatian beliau ketika melakukan siri kunjungan ke beberapa UMNO bahagian di negeri itu bagi melihat persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya sudah pergi 21 kawasan Parlimen daripada 26 dan bertemu dengan jentera UMNO dan apa yang saya dapati bahawa semangat jentera untuk mengembalikan BN memerintah neger Johor ini sangat tinggi dan mereka ada keyakinan.

“Bagaimanapun saya menyatakan pada mereka untuk teruskan usaha-usaha dan jangan terlalu yakin namun kita harap mereka terus dibantu oleh negeri angkat memantapkan jentera pilihan raya.

“Saya datang pun menyatakan perancangan jadi sehari dua lagi ianya akan dilaksanakan jadi saya harap perkara ini membawa kebaikan kepada kita,” katanya ketika ditemui UMNO Online

Ahmad terdahulu pada minggu lalu ke UMNO Bahagian Labis dan Sekijang mendengar taklimat dan perbincangan bersama kepimpinan bahagian dan jawatankuasa dalam merangka strategi untuk BN menawan dua DUN di bawah Parlimen berkenaan.

Beliau sebelum ini juga ke Mersing, Kota Tinggi, Tebrau dan Tenggara sebelum ke Kulai, Pengerang, Ledang, Muar, Bakri dan beberapa bahagian lain. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib