PRN: Rakyat Tertipu Dan Muak Dengan Helah PH – Hasni

KOTA TINGGI, 16 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berpandangan rakyat sudah muak dan merasa tertipu dengan permainan parti pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) yang lalu membabitkan manifesto yang ditawarkan mereka.

Katanya, pelbagai janji yang ditaburkan namun ianya tidak ditunaikan meskipun mereka diberi peluang mentadbir negeri dan persekutuan selama 22 bulan.

“Saya hendak beritahu bahawa rakyat sudah muak dengan resepi parti pembangkang di mana kita tertipu sejak PRU-14 sehingga berakhirnya pentadbiran PH.

“Mereka cuba putar belit banyak perkara yang menjadi asas, jadi untuk itu jangan kita rasa ragu-ragu bahawa PRN ini kita buat keputusan pada 26 Feb hingga 12 Mac yang akan kembalikan kegemilangan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Taklimat dan Penyerahan Negeri Angkat Jentera BN di Pusat Operasi Zon Timur, yang diadakan di sini, malam tadi.


Hadir sama Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan, presiden parti-parti komponen dan rakan gabungan, barisan kepimpinan peringkat pusat dan negeri serta jentera parti.

Jelas Hasni lagi, tragedi yang terjadi pada 9 Mei 2018 itu akan terus kekal menjadi lipatan sejarah hitam buat rakyat di negeri ini.

Tambahnya, beliau percaya sekiranya segala gerak kerja dijalankan dengan sebaiknya BN akan berupaya untuk kekal mentadbir Johor sekaligus membawa agenda kemakmuran yang dirancang.

“Jangan toleh belakang kalau kata kerusi itu kita punya kita mesti menang apa yang berlaku pada PRU ke-14 saya percaya tidak akan berlaku lagi pada pilihan raya ini.

“Saya tahu anda sengsara berhadapan dengan keadaan sebelum ini saya tidak boleh kata minta maaf bagi pihak BN Johor tapi percaya pisang tidak akan berbuah dua kali.

“Perkara yang penting pada ketika ini adalah untuk siapkan jentera untuk berhadapan dengan PRN ini, kita akan gerakkan terbaik dari segi penyusunannya serta komitmen,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib