PRN: Manifesto BN Fokus Teruskan Agenda Kemajuan Negeri – Ahmad Zahid

KOTA TINGGI, 16 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjanjikan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diumumkan kelak akan menjurus kepada kemajuan bagi negeri ini seperti yang telah dibawa ketika era pentadbiran BN terdahulu.

Beliau juga meluahkan keyakinan bahawa kejayaan yang bakal ditempa BN pada 12 Mac sebagai langkah kanan untuk parti gabungan ini menuju ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU ke-15).

“Dalam manifesto yang akan kita hidangkan nanti kepimpinan Johor dan pusat telah memutuskan bahawa ianya mesti menjurus ke arah mewujudkan kestabilan demi kemajuan negeri supaya rakyat mendapat faedah sepenuhnya dan negeri ini bangkit menjadi di negeri termaju di Malaysia.

“Johor sebelum ini jadi fix deposit untuk BN jadi saya yakin dengan kejayaan UMNO dengan dibantu MCA, MIC untuk bina kerajaan negeri paling stabil adalah Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Taklimat dan Penyerahan Negeri Angkat Jentera BN di Pusat Operasi Zon Timur, yang diadakan di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan presiden parti-parti komponen dan rakan gabungan, barisan kepimpinan peringkat pusat dan negeri serta jentera parti.

Presiden UMNO itu juga menjanjikan bahawa sekiranya BN kembali mendapat kepercayaan pada hari pengundian kelak Hasni selaku calon Menteri Besar akan menebus kembali kegagalan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Tambah beliau lagi, kegagalan kedua-dua gabungan itu juga bukan hanya dilihat di Johor malah di peringkat persekutuan sehingga menjejaskan perkembangan ekonomi negara.

“Kita yakin dalam keterbatasan waktu Hasni akan buktikan bahawa perubahan yang dapat dilakukan untuk menebus kegagalan kerajaan 22 bulan dan 17 bulan yang telah menjual banyak aset negara sambil melemparkan pelbagai tuduhan kepada BN.

“Jelas bahawa selama 22 bulan itu bukan bayar hutang tapi tambah hutang selepas itu PN pula dengan melaksanakan darurat sebab COVID-19 bukan untuk jaga rakyat tapi untuk kepentingan kerajaan… ingat doa orang yang dizalimi itu dimakbulkan,” ujar beliau.

Majlis Taklimat dan Penyerahan Negeri Angkat Jentera BN di Pusat Operasi Zon Timur di Kota Tinggi itu adalah yang terakhir selepas beberapa pelancaran telah pun diadakan membabitkan zon barat, tengah, utara malah yang sebelumnya selatan pada Ahad.

Zon ini membabitkan kawasan Parlimen Mersing, Tenggara, Kota Tinggi dan Pengerang, untuk rekod kesemua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri dimenangi BN pada PRU ke-14 lalu. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib