Pengundi Muda Harus Diberikan Fakta Kelebihan BN Berbanding Gabungan Parti Lain

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Pengundi muda harus dimaklumkan suatu fakta penting mengenai Barisan Nasional (BN) iaitu ia dibarisi parti komponen berbilang bangsa dan agama serta merupakan sebuah gabungan politik ‘evergreen’.

Menurut Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, BN adalah sebuah gabungan politik demokratik yang tetap relevan, ‘everlasting’, malar segar ‘since 1973’ dan ia sebuah gabungan politik yang solid, kukuh, konsisten dan mampan sejak dulu, kini dan selamanya.

“Sangat berbeza berbanding gabungan politik lain yang rapuh, ‘poser’ dan penuh dengan lakonan. Bergabung sebelum berpecah, berpecah kemudian bergabung dan bergabung sebelum berpecah semula.

“Berubah-ubah mengikut selera dan pesona politik masing-masing tanpa mempedulikan nasib dan masa depan rakyat,” tegas Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO di laman Facebooknya.

Tambah Ahmad Zahid lagi, kesalasilahan BN sebagai sebuah gabungan parti politik demi rakyat untuk rakyat tidak pernah terciduk.

“Kerana itu parti ‘old-timer’ politik Malaysia ini berjaya memancarkan kestabilan sepanjang mentadbir negara.

“Kestabilan dibawa kerajaan BN mendedikasikan sebuah kemakmuran dan kesejahteraan buat Malaysia,” katanya.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, pengundi muda harus difahamkan mengenainya supaya tidak terkeliru berhubung terminologi muda dalam kancah politik.

“Muda bukan tentang usia parti, namun dasar dan agenda yang akan memanfaatkan golongan muda mahupun lama.

“BN walau sudah berpuluh tahun wujud tidak pernah gagal atau terkhilaf untuk memahami aspirasi golongan muda.

“BN dalam sejarah panjang perjalanan politiknya sentiasa terdiri daripada komposisi lama dan muda,” ujarnya.

Seterusnya ulas Ahmad Zahid lagi, gabungan parti politik BN dibarisi gandingan pimpinan lama dan baharu pada setiap waktu dan tempat.

“Yang lama padat dengan pengalaman dan pengetahuan, yang baru segar dengan idea dan inspirasi.

“Kedua-dua bersinergi untuk mengangkat kepentingan rakyat setiap kaum, agama, gender dan peringkat umur.

“Sesuai dengan falsafah yang lama dihormati, yang muda disayangi, itulah BN yang memayungi aspirasi semua,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berharap agar pengundi muda Johor memahami dan mengerti realiti ini demi masa depan mereka dan keluarga mereka. – UMNO ONLINE