“Sesekali Jangan Memfitnah, Maki-hamun Bukan Budaya UMNO BN” – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berpesan kepada semua jentera khususnya jentera komunikasi dan penerangan parti agar sentiasa menjadi yang terbaik.

Kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, BN dan UMNO mesti membudayakan politik matang tanpa memfitnah dan melemparkan kata-kata kesat.

“BN UMNO mesti budayakan politik matang. Berhujah mesti dengan fakta. Bercakap mesti beradab. Mengkritik mesti betul caranya.

“Sesekali jangan memfitnah. Maki-hamun bukan budaya UMNO BN,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ini kerana tambah Ahli Parlimen Lenggong itu, semua tindakan dan perilaku ahli parti akan dinilai oleh rakyat.

Untuk rekod, baru-baru ini ketika pelancaran jentera Pemuda Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Batu Pahat, ketuanya yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari di dalam ucapannya berkata PRN Johor adalah masa untuk mengajar parti lawan yang dituduhnya bongkak dan mendakwa pernah dibantu oleh mereka.

Selain itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut memperlekehkan usaha UMNO yang menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi kebenaran kepada pencarum mengeluarkan wang sebanyak RM10,000 sekaligus, yang kini terkesan akibat pandemik COVID-19. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.