Armand Tegur Pimpinan PAS, Bicaralah Dengan Matang Dan Bukannya Emosi

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah hari ini melontarkan teguran kepada Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari selain beberapa pimpinan utama parti berkenaan yang mengeluarkan kenyataan mengguris hati ahli serta pimpinan UMNO yang lain.

Menerusi klip video yang dikongsikan menerusi Facebook beliau, Armand yang juga Ketua UMNO Subang seterusnya menegaskan mereka seharusnya berbicara secara matang dan bukannya secara emosi malah ianya tidak baik untuk politik matang.

“Teguran kepada Ketua Pemuda PAS dan beberapa pimpinan utama mereka lain apabila mengeluarkan kenyataan yang cuba mengguris perasaan kepimpinan UMNO, barisan ahli UMNO  dan juga pendokong-pendokong parti di mana apabila mereka berkempen pada PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor mengeluarkan ucapan, kenyataan yang tidak baik untuk sebuah parti politik yang matang.

“Jadi saya nak beritahu kepada mereka yang mengeluarkan ‘kalam’ di atas pentas ceramah Perikatan Nasional (PN), menghina serta mengkritik, mengeji dan sebagainya.

“UMNO tidak mengambil pendekatan sebegitu kerana kita berpegang kepada konsep muafakat, kesejahteraan, kebersamaan, perdamaian dan sebagainya. Tetapi apabila dikeluarkan kenyataan menunjukkan mereka tidak ada kematangan dalam berpolitik terutama dalam menghormati rakan komposisi menerusi kerjasama parti-parti politik di peringkat pusat,” katanya.

Beliau seterusnya mengambil contoh bagaimana pendekatan pimpinan PAS seperti Ahli Parlimen Bachok yang juga bekas ketua pemuda, Nik Abduh Nik Abd Aziz yang tidak bertindak sedemikian rupa malah mengambil pendekatan bermuzakarah.

“Jadi saya nak beritahu kepada Ketua Pemuda PAS agar berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan dan bertutur apabila mengeluarkan kenyataan. Jangan berhujah mengikut emosional dan sebagainya. Kalau nak belajar berpolitik, lihat Ketua Pemuda PAS di bawah Nik Abduh yang tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina, mencerca tetapi mencari pendekatan untuk bermuzakarah untuk mencari jalan penyelesaian.

“Jadi kepada pemimpin-pemimpin PAS, pemimpin-pemimpin PPBM dan juga rakan-rakan di PN agar berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan. Saya selaku pemimpin UMNO dan BN hendak beritahu, kita menghormati semua barisan politik, kawan-kawan politik kita daripada BN, PN waima parti lawan kita PH.

“Jagalah dari segi mengeluarkan tutur kata dan bicara. Kalau nak lawan dengan BN dan UMNO kita tidak pernah gentar untuk menghadapi sesiapa sahaja calon parti politik PRN Johor,” tambahnya.

Sebelum ini beberapa pimpinan PAS termasuk Ketua Pemudanya mengeluarkan kenyataan yang mengkritik, memperlekeh serta melontar pelbagai tohmahan terhadap UMNO dan BN menjelang PRN Johor. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.