PRN Johor: Mandat Rakyat Penting Teruskan Agenda Kemajuan Johor – Zahid


JOHOR BAHRU, 14 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis bahawa agenda kemajuan bagi Johor akan terus dicapai sekiranya rakyat kembali memberikan mandat kepada parti gabungan ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Katanya, rakyat negeri ini juga dilihat menaruh harapan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang sebelum ini cemerlang dalam menerajui Johor sepanjang pentadbiran beliau selaku menteri besar.

“Rakyat Johor sayang Hasni dengan prestasi yang diperlihatkan beliau serta komited dalam pembangunan negeri.

“Saya juga diberitahu waktu BN dominan di Johor dahulu kedudukan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) berada pada tahap yang terbaik.

“Jika BN diberi mandat kembali saya yakin ekonomi negeri ini akan kembali melonjak semula, oleh itu mandat pada 12 Mac ini penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis taklimat dan penyerahan negeri angkat jentera BN bagi Zon Selatan di Bandar Dato Onn, malam tadi.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, presiden parti-parti komponen dan rakan gabungan, barisan kepimpinan peringkat pusat dan negeri serta jentera parti.

Presiden UMNO itu juga turut memaklumkan bahawa jentera harus fokus dalam melakukan gerak kerja untuk memastikan keputusan PRN ini memberikan kemenangan selesa pada BN.

“Matlamat kita bukan hanya untuk menubuhkan kerajaan Johor dengan majoriti mudah tetapi untuk kemenangan dua pertiga.

“Ketepikan perbezaan pendapat, bermula hari ini letakkan noktah kerana kita mahu melihat BN bangkit semula untuk jadi dominan,” tegas beliau.

Terdahulu dilaporkan pada 22 Jan lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala PH dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.