PH Musnahkan Asas Kukuh Dibina BN, PRN Johor Untuk Kembalikan Kestabilan – Hasni

JOHOR BAHRU, 14 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mendakwa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) telah merosakkan kesinambungan kecemerlangan Johor seperti yang dilakukan ketika Barisan Nasional (BN) berkerajaan dahulu.

Katanya, pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini sebenarnya memberikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan negeri yang berupaya sebaiknya bagi mentadbir dan mengembalikan kecemerlangan negeri ini.

“22 bulan PH memimpin negeri ini ianya telah memperkotak-katikkan begitu banyak asas-asas kukuh yang dibina selama ini, maka tidak selayaknya negeri ini diperlakukan sebegitu sebab itu kita hari ini membuat keputusan yang berani.

“Tiada siapa yang menyuruh kita mengadakan PRN tapi atas kesedaran bahawa sekiranya tidak (dilaksana), lagi banyak sengsara yang akan berlaku, sebab itu saya diberi tanggungjawab memimpin negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis taklimat dan penyerahan negeri angkat jentera BN bagi Zon Selatan di Bandar Dato Onn, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan, presiden parti-parti komponen serta rakan gabungan, barisan kepimpinan peringkat pusat dan negeri serta jentera parti.

Jelas Hasni lagi, Johor merupakan sebuah negeri yang berupaya berkembang dengan pesat sekiranya segala yang dimiliki dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Kita sedar bahawa negeri ini perlukan mercu yang kukuh, selayaknya Johor ini dari segi kedudukan, potensi, negeri yang telah lama menunjukkan akan keupayaan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Johor telah membuktikan mampu menarik pelaburan yang cukup besar untuk datang ke negara negeri ini seumpama menara atau mercu tapi jika tanpa asas yang kukuh saya tidak percaya ianya akan mampu dilaksanakan dengan sebaiknya,” ujar beliau lagi. – UMNO Online