Penemuan Banci 2020, Wadah Terbaik mengarus Perdana Pembangunan Negara

“Bertitik-tolak daripada maklumat yang diperoleh inilah kerajaan akan dapat menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan bernilai berbilion ringgit Malaysia dapat dibelanjakan di seluruh negara,” katanya dalam ucapan perasmian di Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.

Ismail Sabri berkata melalui banci ini kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada yang selayaknya dan memerlukan, membasmi kemiskinan dan mengurus kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), termasuk golongan mudah terjejas dan terpinggir.

“Di sini, Jabatan Perangkaan juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pengiraan kumpulan isi rumah berpendapatan mengikut kategori B40, M40 dan T20. Kumpulan sasar seperti warga emas dan golongan kelainan upaya turut tidak akan terkecuali menikmati limpahan kesejahteraan ini.

“Penghasilan profil yang terperinci akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti. Ia juga akan digunakan untuk pengiraan pendapatan per kapita, penggubalan dasar-dasar warga emas dan perancangan sosial.

Ismail Sabri berkata maklumat dan data yang dikumpulkan melalui banci ini akan digunakan untuk menilai pencapaian negara masa kini kerana ia dapat memberikan gambaran tahap keberadaan negara dan menyediakan input terbaik dalam menentukan hala tuju negara pada masa akan datang.

Katanya sebagai negara pendapatan sederhana tinggi dengan jumlah komposisi generasi muda dan pelajar yang besar dalam masyarakat, kerajaan akan turut memfokuskan kepada penyediaan generasi muda yang dapat mengharungi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dengan memperkasa kurikulum pendidikan sekolah dan universiti antaranya dengan memperkukuhkan sistem pendidikan yang holistik.

“Di samping itu, pewujudan dan peluang pekerjaan sememangnya menjadi antara agenda penting negara dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.– BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.