Pejabat UMNO Bahagian Mersing Dipercayai Dipecah Masuk, Dokumen PRN Hilang

MERSING, 14 Feb – Pejabat UMNO Bahagian Mersing yang terletak di Jalan Ismail di sini dipercayai dipecah masuk selepas beberapa kelengkapan berharga premis itu didapati hilang.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing Rina Farhana Abdullah berkata kejadian itu disedari kira-kira pukul 8 pagi tadi, ketika dia dan seorang lagi kakitangan hendak memulakan tugas sebelum mendapati pintu utama premis itu tidak berkunci.

“Saya lihat pintu pejabat telah dipecah dan mendapati beg berwarna putih yang mengandungi enam unit telefon bimbit jenama Nokia, 10 keping kad sim pelbagai jenis, data Pilihan Raya Negeri Johor, baucar sagu hati petugas dan sebuah fail berisi senarai nama serta laporan sikap petugas telah hilang.

“Bagaimanapun, beberapa laptop yang terletak berdekatan beg berkenaan tidak dicuri selain keadaan pejabat yang seperti biasa (tidak berselerak),” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyrill Edward Nuing mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian dan berkata kes itu masih dalam siasatan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.