Johor Potensi Besar Maju Ke Depan, Perlukan Sebuah Kerajaan Stabil – Suraya

ALOR SETAR, 14 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata Johor merupakan sebuah negeri yang mempunyai potensi cukup besar untuk lebih maju ke hadapan, namun ia bergantung kepada sejauh mana kestabilan politik di negeri tersebut.

Justeru katanya, dalam mencapai hasrat berkenaan, sudah pasti soal kestabilan dalam negeri perlu diperkasakan dan itulah yang berlaku hari ini apabila mandat sekali lagi diberikan kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN)

“PRN Johor ini dibuat  memandangkan UMNO/BN memerlukan kestabilan bagi memastikan kerajaan dapat melaksanakan segala program untuk rakyat dengan lebih baik dan melaksanakan dasar-dasar yang lebih mantap.

“Demi kestabilan rakyat di negeri Johor, tentunya mereka perlu memilih BN dalam usaha memastikan kerajaan yang dibentuk nanti adalah sebuah kerajaan kuat dan kukuh bagi memastikan tumpuan terhadap rakyat dan negeri dapat diteruskan, ” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah seterusnya menambah pihaknya akan turun ke Johor dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan pada PRN tersebut.

“Jentera Penerangan UMNO Kedah diberi tugas membantu dua Parlimen Johor iaitu Tanjung Piai dan Pontian. Kita berharap ketua Penerangan UMNO dapat membantu dan menguatkan parti bagi kempen PRN Johor,” ujarnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN Johor ke-15 ini adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Jan 2022. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.