MB Kedah Perlu Sedar PH, PN Punca Ketidakstabilan Politik… PPBM ‘Pancing Katak Politik’ Tidak Gila Kuasa?

ALOR SETAR, 13 Feb – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor perlu sedar bahawa ketidakstabilan politik di negara ini mula berlaku apabila Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menang tipis di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Hashim Jahiya berkata untuk menstabilkan kerajaan PH ketika itu, PPBM yang wakilnya menjadi Perdana Menteri telah berjaya ‘memancing katak-katak politik’ menyertai partinya.

“Itulah cara ‘kestabilan politik’ ala PH. Namun kerajaan PH itu tidak juga stabil dan tumbangkan diri sendiri apabila sekutu PAS itu berpecah dua dan mengkhianati PH.

“PPBM ketika itu bukan saja membawa lari ‘katak-katak politik’ dari mereka yang tidak setia pada UMNO-Barisan Nasional (BN), malah turut membawa lari beberapa ‘katak-katak politik’ dari PKR, sekali lagi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang sangat tipis.

“Apakah rakan sekutu PAS itu tidak gila kuasa? Apatah lagi mereka terpaksa mengemis simpati dari UMNO-BN yang mereka khianati 22 bulan bersama PH dulu? Kerana PRU dilihat tidak dilihat relevan ketika itu kerana COVID-19, maka UMNO dan PAS terpaksa menerima cadangan menubuhkan kerajaan campuran bersama PPBM, biarpun hati terluka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Hashim lagi, malah Sanusi turut menerima ‘laba ghanimah’ atas ketidakstabilan politik PH dengan mendapat jawatan menteri besar secara percuma.

“Tanpa disangka, beliau sendiri berkuasa di negeri Kedah. Dari kerusi Ketua Pembangkang, beliau diberi peluang menjadi menteri besar.

“Cuma kadang-kala, mungkin Allah berikan jawatan besar itu sebagai ujian kepada beliau. Apakah akan ada rasa ujub, riak dan takbur pada kedudukannya? Sombongkah beliau setelah memegang kuasa?

“Atau hanya berlagak marhain, namun hakikatnya hanya sekadar mencari publisiti, membeli jiwa atau memancing simpati? Beliau sendiri mendapat jawatan ‘percuma’, bukan?, soalnya lagi.

Ulas Hashim, Sanusi jelas tidak lagi menghargai Muafakat Nasional (MN), malah sangat bertentangan dengan ‘fatwa’ PAS yang kononnya nekad mahu memperkukuh MN di negara ini dengan membuat kenyataan memperlekehkan UMNO ketika berucap di pelancaran jentera Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Oleh itu adalah jelas bahawa segala tohmahan Menteri Besar Kedah itu bagaikan alasan untuk mencari helah meruntuhkan MN, bukan mengukuhkan MN.

“Mungkin ini kenyataan beliau itu juga bertujuan mengaburi mata penyokong PAS di Johor yang khabarnya lebih sayangkan ukhuwah MN,” katanya lagi.

Berikut merupakan kenyataan penuh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Hashim Jahiya, 13 Februari.

Tindakan Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor memperlekeh Barisan Nasional (BN) di Kedah menunjukkan beliau tidak menghargai lagi Muafakat Nasional (MN), malah sangat bertentangan dengan ‘fatwa’ PAS yang kononnya nekad mahu memperkukuh MN di negara ini.

Kenyataannya yang terbaru di Pulai, Johor, menjelaskan bahawa MN hanyalah satu dakyah politik PAS yang tidak ikhlas bekerjasama dengan UMNO dan BN dalam piagam tersebut.

Kestabilan Politik

Sebuah negeri yang sama jumlah bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau hanya punyai kelebihan satu atau dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja boleh dianggap tidak stabil di negara ini, khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebagai seorang pemimpin utama negeri, pastinya beliau tahu kesan buruk bagi sesebuah negeri atau negara yang tidak stabil politiknya.

Antaranya, para pelabur akan takut dan teragak-agak untuk melabur di negeri atau negara berkenaan kerana bimbang perubahan dasar kerajaan, hala tuju dan merugikan pelaburan yang dibuat. Kerajaan itu juga akan kerap terganggu, tidak lancar proses pembuatan dasar dan goyah, sekali gus mengakibatkan rakyat menjadi mangsa secara tidak langsung.

Ugutan Menekan Butang

Apatah lagi Presiden dan beberapa pemimpin utama PPBM, rakan sekutu PAS itu, sejak kebelakangan ini mengugut BN mahu menekan ‘butang’ di Johor yang berada di kedudukan seri 27-27 DUN itu, kedudukan politik dan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor sangatlah tidak stabil dan goyah. Harapnya, MB Kedah celik dengan keadaan tersebut.

Demi kestabilan politik Kerajaan Negeri Johor itulah maka MB Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad, menanggung risiko mengadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk membubarkan DUN dan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Walhal, BN ketika itu memegang kuasa dan tiada siapa yang mampu menjamin kemenangan BN di Johor selepas itu.

Tamak Kuasa

Sekiranya UMNO-BN kononnya “tamak kuasa” seperti yang dikatakan MB Kedah, pastinya Datuk Ir. Hasni tidak nasihatkan Sultan Johor untuk berbuat demikian dan beliau akan terus selesa memegang kuasa di kerusi MB hingga selesai penggal.

Namun atas rasa tanggungjawab pada amanah DiRaja, rakyat dan negeri Johor, beliau perlu mengambil keputusan tersebut.

Sekiranya MB Kedah celikkan mata lebih luas, UMNO-BN telah mentadbir negara sejak merdeka lagi dengan kelebihan kerusi yang baik. Lebih 60 tahun lamanya mentadbir, kestabilan politik di negara ini dilihat stabil dan mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik. Petandanya, pelaburan di negara ini meningkat baik saban tahun.

Itu menandakan UMNO-BN bukanlah punca ketidakstabilan politik mana-mana kerajaan di negara ini.

Tidak Stabil Sejak PRU14

Sebaliknya, MB Kedah itu perlu sedar bahawa ketidakstabilan politik di negara ini mula berlaku apabila PPBM bersama Pakatan Harapan (PH) menang tipis pada PRU ke-14 yang lalu. Untuk menstabilkan kerajaan PH ketika itu, PPBM yang merupakan Perdana Menteri telah berjaya ‘memancing katak-katak politik’ menyertai partinya. Itulah cara ‘kestabilan politik’ ala PH.

Namun kerajaan PH itu tidak juga stabil dan tumbangkan diri sendiri apabila sekutu PAS itu berpecah dua dan mengkhianati PH. PPBM ketika itu bukan saja membawa lari ‘katak-katak politik’ dari mereka yang tidak setia pada UMNO-BN, malah turut membawa lari beberapa ‘katak-katak politik’ dari PKR, sekali lagi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang sangat tipis.

Apakah rakan sekutu PAS itu tidak gila kuasa? Apatah lagi mereka terpaksa mengemis simpati dari UMNO-BN yang mereka khianati 22 bulan bersama PH dulu? Kerana PRU dilihat tidak dilihat relevan ketika itu kerana COVID-19, maka UMNO dan PAS terpaksa menerima cadangan menubuhkan kerajaan campuran bersama PPBM, biarpun hati terluka.

Demi ‘kestabilan politik’ yang dijanjikan PPBM ketika itu, UMNO-BN relakan jua…

Jawatan Percuma Atas Ketidakstabilan Politik

Malah, MB Kedah itu sendiri menerima ‘laba ghanimah’ atas ketidakstabilan politik PH tersebut.

Tanpa disangka, beliau sendiri berkuasa di negeri Kedah. Dari kerusi Ketua Pembangkang, beliau diberi peluang menjadi Menteri Besar.

Cuma kadang-kala, mungkin Allah berikan jawatan besar itu sebagai ujian kepada beliau. Apakah akan ada rasa ujub, riak dan takbur pada kedudukannya? Sombongkah beliau setelah memegang kuasa?

Atau hanya berlagak marhain, namun hakikatnya hanya sekadar mencari publisiti, membeli jiwa atau memancing simpati? Beliau sendiri mendapat jawatan ‘percuma’, bukan?

Darurat Perikatan Nasional (PN) Gagal Stabilkan Politik

Namun setelah 17 bulan mengepalai kerajaan, beberapa ahli Parlimen melihat Kerajaan PN gagal membentuk ‘kestabilan politik’ meskipun mengisytiharkan Darurat. Malah pentadbiran 17 bulan itu dilihat gagal dan hanya berjaya melaksanakan pelbagai siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja dengan membelanja berbilion-bilion wang negara.

Memiliki majoriti yang sangat tipis dan kegagalan menstabilkan kerajaan PN itu menyebabkan Perdana Menteri dari PPBM itu memaksa diri untuk meletak jawatan. Dalam pada itu, BN terpaksa pula mengambil alih pentadbiran sebuah negara yang tempang teruk, hasil peninggalan PH dan PN. Malah kerajaan itu juga tidak stabil sebagaimana yang dibayangkan.

Kesimpulan

Oleh itu adalah jelas bahawa segala tohmahan MB Kedah itu bagaikan alasan untuk mencari helah meruntuhkan MN, bukan mengukuhkan MN.

Mungkin ini kenyataan beliau itu juga bertujuan mengaburi mata penyokong PAS di Johor yang khabarnya lebih sayangkan ukhuwah MN.

Setelah mengeratkan silaturrahim bersama UMNO-BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai tempohari, sudah tentu ramai penyokong PAS yang keliru apabila MB Kedah ajar berkelahi dengan UMNO-BN, sebaliknya menyeru untuk menyokong PPBM yang menipu mereka hidup-hidup pada PRU ke-14 lalu.

Mungkin sedih almarhum murabbi PAS Kedah di atas ketidakbijaksanaan kewarasan MB Pas ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.