Kita Dah Buktikan Kerajaan UMNO Stabil – PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Tidak timbul isu kerajaan akan menjadi lebih stabil jika UMNO tidak menjadi kerajaan, itu kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Muhammad Md Nor.

Ismail Sabri berkata kerajaan kini adalah kerajaan UMNO dan beliau sendiri adalah perdana menteri dari UMNO, yang mendapat sokongan dari rakan-rakan parti lain.

“Kita dah tunjuk (buktikan) kerajaan ini stabil, saya sendiri Perdana Menteri UMNO dan disokong oleh rakan-rakan parti yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Makan Tengah Hari Lou Sang Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata formula untuk melihat kestabilan politik di Malaysia dan negeri-negeri seluruh negara adalah bila UMNO tidak lagi memerintah.

Sementara itu Ismail Sabri berkata kestabilan politik negara juga dibuktikan dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang.

“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini, ia semua bagi memastikan politik negara dalam keadaan stabil, jadi tiada isu seperti yang dikatakan oleh MB (Muhammad Sanusi) itu,” katanya. – BERNAMA