PRN: PH Bimbang Anak Muda Lihat Kegagalan 22 Bulan – Maulizan

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berpandangan pihak pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) semestinya bimbang dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Katanya, ini kerana mereka menyedari bahawa anak muda melihat kegagalan yang dilakukan dalam mentadbir negara selama 22 bulan terutama manifesto yang tidak dipenuhi.

“Saya rasa pengundi muda ini sudah boleh berfikir malah yakin mereka bersama kita… pihak pembangkang atau PH tak yakin bahawa golongan muda ini menyebelahi mereka sebab itu sampai sekarang pun kita lihat bahawa keyakinan untuk menarik pengundi muda ini berpihak kepada kita.

“Jadi saya percaya anak muda ini sudah mula sedar tentang politik dalam negara kita apa yang berlaku selama ini dengan pergolakan politik menghuru-harakan negara dan kerajaan,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Sementara itu, Maulizan turut meluahkan keyakinan untuk Barisan Nasional (BN) merampas kembali dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dan Tiram di bawah Parlimen Tebrau.

Katanya ini kerana isu di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) memain peranan untuk pengundi memilih kerajaan yang benar-benar membawa kesejahteraan kepada negeri dan negara.

“Dalam PRU lepas kita tewas kedua-dua DUN Puteri Wangsa dan Tiram. Saya penuh yakin dengan banyak faktor yang diambil kira oleh rakyat soal kestabilan politik, ekonomi, janji-janji PH yang tidak mampu hendak tunaikan.

“Saya yakin itu antara faktor besar yang akan menyebabkan pengundi akan berbalik kepada BN untuk diberi peluang sekali lagi menjadi kerajaan sepenuhnya di negeri Johor,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.