Kasihan Muhyiddin… Karma Talkin Terhadap UMNO Hantui PPBM – Khaled

KUALA LUMPUR, 12 Feb – “Kasihan Muhyiddin.” Demikian kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung tingkah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sejak kebelakangan ini ibarat serba tak kena.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mendakwa satu-satunya cara untuk menghalang ‘kluster mahkamah’ daripada kembali berkuasa ialah dengan mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

“Beliau terus terbelenggu dengan ‘kluster mahkamah’, istilah ciptaan beliau, sedangkan seluruh negara telah jauh bergerak kehadapan, mencari kestabilan, memulih ekonomi dan mencipta masa depan.

“Saya kasihan benar dengan Presiden PPBM ini. Benar-benar beliau ketandusan kecerdasan. Siang dan malam, tidur tak lena, mandi tak basah kerana di bayangi dengan ‘kluster mahkamah’.

“Rupanya penglibatan PPBM dalam PRN Johor hanya untuk menentang ‘kluster mahkamah’. Tiada rencana konkrit, lakaran masa depan dan cita-cita yang segar. Yang lagi pelik ialah, tiada seorang pun yang beliau gelar ‘kluster mahkamah’ itu bertanding diJohor atau ada kena mengena dengan pentadbiran Kerajaan Johor,” bidasnya dalam kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Sehubungan itu tegasnya, jangan heret rakyat Johor ke kancah ketidaksukaan beliau terhadap tokoh tertentu.

“Yang utama kepada rakyat Johor ialah mencari Kerajaan yang stabil dan boleh memulihkan semula ekonomi.

“Mantan Perdana Menteri ke-8 sedang berhadapan dengan krisis paling besar dalam perjalanan politik beliau.”

Ujarnya, setelah kehilangan sokongan sebagai Perdana Menteri, tewas di Melaka, gagal bertapak di Sarawak, kecundang dalam usaha memikat kerjasama dengan UMNO, Muhyiddin kini hanya ada Pas sebagai sandaran.

“Ini kerana dari sehari ke sehari, semakin ramai pimpinan dan ahli PPBM keluar meninggalkan parti.

“Karma talkin beliau terhadap UMNO kembali menghantui PPBM. Semuanya ciptaan beliau sendiri, bukan orang lain,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.