Tiada Guna Bergabung, Jika Tiada Kesefahaman Dan Kestabilan – Sharkar

TEMERLOH, 11 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berpandangan kerjasama politik pelbagai parti sukar diramal sehingga menyebabkan ketidakstabilan dalam sistem politik serta tampuk pemerintahan negara.

Katanya, rakyat tentunya dapat melihat sendiri kesannya di mana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu Pakatan Harapan (PH) memenanginya yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) serta disokong Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Namun, hanya 22 bulan kerajaan PH mampu bertahan apabila berlaku krisis politik sehingga menyebabkan berlaku perubahan kerajaan pada peringkat Persekutuan dan sebahagian negeri.

“Selepas itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga diangggotai pelbagai parti politik pula mengambil alih pemerintahan negara, namun ia juga tidak mampu bertahan lama hanya 17 bulan sahaja.

“Sebelum itu, wujud kerjasama politik, iaitu Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan PAS demi kepentingan Melayu/Islam. Namun ia juga tidak mampu untuk bekerjasama mewujudkan kestabilan,” kata Exco Kerajaan Negeri Pahang itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru tambahnya, jika dilihat pengalaman lalu, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO merupakan satu-satunya gabungan politik yang terbukti berupaya membawa kestabilan dan kemakmuran negara.

“Kemakmuran, kemajuan dan hidup aman damai rakyat berbilang kaum adalah bukti kejayaan BN mentadbir negara ini dengan baik selama lebih 60 tahun.

“Cumanya dalam PRU-14 lalu rakyat menghukum BN dan tentunya BN khususnya UMNO menerima keputusan rakyat dan kita memperbaiki segala kelemahan dan keburukan lantaran kelekaan dan kelalaian diri sendiri,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang itu lagi.

Manakala menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini ujarnya, rakyat negeri itu tentu bijak membuat pilihan terbaik bagi mewujudkan kestabilan di negeri berkenaan.

“Sebelum ini, kerajaan negeri Johor berada dalam keadaan caca marba apabila ia hanya memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian.

“Kerajaan negeri Johor juga tertekan dalam keadaan politik yang tidak stabil. Kita tahu bahawa negara kita pun, kerajaan Keluarga Malaysia pada ketika ini pun mempunyai kombinasi pelbagai parti dan dilihat ia tidak begitu kondusif dan tidak stabil,” katanya.

Begitu juga pada PRN Johor kali ini, dapat disaksikan kerapuhan atau berpecahnya gabungan PH apabila membenarkan PKR menggunakan logo sendiri.

“Keputusan tersebut secara jelas menunjukkan perpecahan dalam PH terutama selepas gabungan itu kalah teruk pada PRN Melaka, 20 November 2021,” katanya.

Sehubungan itu ujarnya, PRN Johor adalah formula terbaik mendapatkan kestabilan politik dan rakyat tentunya bijak menilai parti mana pilihan mereka untuk kestabilan yang hakiki. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.