PRN Johor: Muda Dikatakan Pencabar Utama? UMNO/BN Tak Gentar – Azhari

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan kelak.

Katanya, berbekalkan pengalaman yang dimiliki UMNO tidak gentar untuk berhadapan dengan mana-mana parti termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang pertama kali akan menyertai pilihan raya.

“Muda diasaskan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikatakan bakal menjadi pencabar utama namun UMNO di bawah panji BN tidak gentar untuk bersaing.

“Memang benar nasib setiap parti politik berada di tangan pengundi, tambahan tahun ini lebih 700,000 pengundi muda bakal mengundi di PRN Johor.

“Spekulasi liar mengatakan pengundi tersebut bakal mengundi calon muda juga tetap tinggal sebagai spekulasi hinggalah kempen PRN berakhir dan keputusan diumumkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Azhari juga berkata BN bukan kerajaan yang hanya berpengalaman 22 bulan tetapi sejak tahun 1957 hingga kini dalam mentadbir persekutuan dan negeri meskipun ‘direhatkan sekejap’ selama pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya.

“BN bergerak sebagai satu pasukan sejak dari zaman Parti Perikatan bukannya berubah seperti parti lain yang muncul dengan pelbagai slogan dan gabungan hingga mengelirukan setiap kali pilihan raya.

“BN telah bangkit sejak PH hilang majoriti dan BN kini semakin mantap dalam mengatur catur politik. Selepas berhempas pulas berkempen di Melaka, jom ke selatan pula berkempen di bumi Johor Darul Takzim,” ujar beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

SPR juga telah menetapkan hari penamaan calon pada 26 Februari manakala hari mengundi awal pula adalah 8 Mac. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.