PM Adakan Perjumpaan Tertutup Dengan Pimpinan BN Muar

MUAR, 11 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri perjumpaan tertutup bersama jentera Barisan Nasional (BN) Muar di Dewan Tun Sulaiman, Bangunan UMNO Johor, pagi ini.

Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO tiba di bangunan itu pada 10.45 pagi dan meluangkan masa kira-kira tiga jam di sana.

Pertemuan yang turut dihadiri Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad itu, difahamkan berkaitan gerak kerja Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

Ismail Sabri juga difahamkan turut mengadakan mesyuarat dengan Ketua-Ketua Bahagian UMNO Johor Utara.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Muar Datuk Seri Razali Ibrahim dan Setiausaha UMNO Johor Datuk Samsolbari Jamali, yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta Ketua UMNO Bahagian Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Perdana Menteri kemudiannya ke Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Taman Sri Tanjung bagi menunaikan solat Jumaat dan beliau dijadualkan menghadiri majlis ramah mesra bersama masyarakat Ledang di Tangkak, petang ini. – BERNAMA