BN Umum Calon Dua, Tiga Hari Sebelum Hari Penamaan Calon

ISKANDAR PUTERI, 11 Feb – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan senarai calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon.

Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad berkata calon-calon yang akan ditampilkan termasuk muka-muka baharu, yang terdiri daripada golongan profesional dan orang muda.

“Saya rasa BN mendengar apa yang disuarakan di bawah, (calon) muka baharu adanya golongan profesional, orang muda yang dianggap harapan masyarakat supaya diberi peluang.

“Kita mendengar saranan yang dibuat, jadi tunggu sehingga keputusan atau pengumuman itu nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Common Ground Iskandar Space, di sini hari ini.

Hasni berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman calon BN untuk PRN Johor.

Ditanya mengenai peratusan muka baharu yang akan bertanding, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata, ia sukar untuk ditetapkan seperti PRN Melaka memandangkan Johor merupakan negeri yang besar.

“Saya rasa Johor ini negeri yang besar, sukar untuk kita menetapkan berapa peratus, seperti di Melaka 80 peratus (muka baharu).

“Tetapi di Johor, sekurangnya dua kali ganda saiz wakil rakyat yang perlu dikenal pasti, wanita juga bersuara supaya lebih diberi peluang. Jadi itu juga perlu diambil kira,” katanya.

Sementara itu, Hasni berkata BN juga sedang memuktamadkan perbincangan mengenai pembahagian kerusi bersama rakan komponen MCA dan MIC serta Friends Of BN.

Beliau pada masa sama turut menjelaskan secara ringkas beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut.

“Saya akan meneruskan perjuangan di Benut dan pada masa sama BN akan bertanding di kesemua kerusi,” kata beliau.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb, dan pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.