Rekod Perkhidmatan BN Dicemburui Seteru Politik – Ahmad Zahid

AYER HITAM, 10 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata rekod perkhidmatan BN yang paling lama memerintah negara sejak era Perikatan dicemburi oleh seteru-seteru politiknya.

Kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, setelah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, dapat disaksikan wujud proses meminggirkan BN yang telah dilakukan oleh seterunya.

“Saya harapkan semua jentera sama ada jentera berkomunikasi bersemuka atau jentera di bawah media sosial dan konvensional kita pastikan seluruh tenaga digerakkan dalam satu nada, satu suara bagi menentukan negeri Johor ini harus terus ditadbir oleh BN.

“Itulah sebabnya penyelarasan gerak kerja harus dilakukan dengan teratur dan berstruktur. Maka Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan merupakan Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Datuk Hasni Mohamad menjadi Ketua Penyelaras. Supaya kombinasi kedua-dua tokoh ini akan memberikan keberhasilan bagi kecemerlangan dan kemenangan dalam PRN Johor ini,” katanya di dalam majlis taklimat dan penyerahan negeri angkat jentera BN bagi Zon Tengah di di sini malam tadi.

Hadir sama Mohamad, Hasni, presiden parti-parti komponen dan rakan gabungan, barisan kepimpinan peringkat pusat dan negeri serta jentera.

Seterusnya tambahnya lagi, serangan kepada parti juga semakin bertubi-tubi dan harus dipertahankan oleh semua pihak terutama melalui kaedah baharu iaitu menggunakan media sosial.

“Serangan kepada kita akan bertubi-tubi… bukan hanya harus dipertahankan oleh media sosial, oleh BN Comms (Komunikasi BN), PUMAS (Penerangan UMNO Malaysia) malah mendapat komitmen dari Presiden MCA, MIC dan parti gabungan dalam BN kita bersatu tenaga bukan sahaja untuk membalas serangan-serangan ini malah kita mempertahankannya.

“Kebolehcapaian kepada maklumat-maklumat di dalam telefon pintar menjadi asas maklumat-maklumat disebarkan. Maka jentera BN jangan terus terjebak dengan kaedah kempen yang dibuat secara tradisional kerana kita tahu dari segi profil dan demografi berbeza dari masa lalu.

“Namun, kita yakin penuh jentera JR (Jalinan Rakyat) , Pemuda dan Puteri BN akan menggunakan kaedah tradisional dan menambah baik dengan kaedah baharu agar semua pengundi akan dapat kita dekati dan seterusnya agar mereka beri dokongan dan kepercayaan kepada semua calon BN di dalam PRN Johor ini, Insya-Allah,” ujarnya lagi.

Begitu juga Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada perwira media sosial baik dari saluran rasmi mahupun bebas yang telah membantu dan akan terus membantu kemenangan BN.

Ahmad Zahid juga berpesan bahawa parti-parti di dalam kompenan BN mesti berpadu, berkongsi pemikiran dan jangan wujudkan mana-mana polemik atau perbedaan pendapat.

“Ini waktu perang, di dalam medan perjuangan kita lupakan masalah titik bengik di kalangan kita demi BN, demi negeri Johor kita akan terjemahkan ini kalilah BN berpadu, bersatu, benar-benar berada di dalam kedudukan paling kuat.

“Dan kita lihat pihak sebelah sana bergabung atas satu nama… ada parti mahu menggunakan lambang partinya sendiri… ada parti menggunakan parti lain, tetapi walaupun BN dicuba pecah perintah, kita tetap akan terus menggunakan lambang dacing sebagai lambang utama BN di dalam PRN Johor,” ujarnya.

Menyentuh mengenai calon pilihan raya, Ahmad Zahid berkata BN akan menampilkan gandingan yang berpengalaman dan lebih ramai muka baharu. – UMNO ONLINE