PRN Johor: Pilihlah BN, Tolak Gabungan Parti Yang Tidak Ikhlas Untuk Rakyat – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengajak rakyat Johor khususnya pengundi untuk menolak gabungan parti yang ternyata tidak ikhlas untuk rakyat dan Negeri Johor.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), maklum rakyat Johor pastinya semua inginkan kestabilan kerana melaluinya Negeri Johor boleh dibangunkan dengan sempurna tanpa ada gangguan.

“Pasti kita ingat PKR, Dap, PAN, Warisan, PPBM, pimpinan Pejuang termasuk pimpinan Muda pernah bersama membentuk Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kerajaan PH yang mereka pimpin gagal. Rakyat rugi dan Malaysia yang kita cintai hancur kerana mereka. Lalu apakah rakyat Johor mahu memberi mandat kepada mereka memerintah Johor sekali lagi?”

Tegasnya, kestabilan wujud apabila kerajaan diangotai parti yang sehaluan dan bersefahaman, malah berfikir demi rakyat.

“Saya yakin anak muda dan rakyat Johor mahu masa depan yang terbaik, mahukan sebuah kerajaan yang stabil bagi terjamin masa depan.

“Kerana itu BN pilihan terbaik. BN diangotai UMNO, MCA, MIC, PBRS dan Friends of BN yang ternyata ikhlas, sehaluan dan mengutamakan rakyat.

“Pilihlah Barisan Nasional. Tolaklah gabungan parti yang ternyata tidak ikhlas untuk rakyat dan Negeri Johor,” katanya lagi.

Dilaporkan semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb, dan pengundian awal pada 8 Mac. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.