PRN Johor: Personaliti Calon Kriteria Utama Khidmat Untuk Rakyat, Bukan Lepas Menang Lari… – Azalina


PENGERANG, 10 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap calon yang bakal dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mempunyai personaliti yang memberangsangkan bagi menambat hati pengundi.

Katanya, kriteria utama calon adalah mereka yang berupaya untuk melaksanakan janji yang diberikan kepada pengundi di kawasan yang dipertandingkan kelak.

“Harapan saya bahawa mereka yang ditawarkan sebagai calon adalah yang boleh menunaikan janji dan melaksanakan yang terbaik untuk pengundi.

“Kita tidak mahu bila berikan dia undi kemudian lepas menang lari, tiba-tiba lompat jadi katak ini semua tidak mahu.

“Hendak orang yang bekerja tidak kira sama ada orang lama atau baharu, berpelajaran atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Azalina yang juga ahli Parlimen Pengerang merangkap Ketua UMNO Bahagian turut berharap calon bakal diketengahkan adalah daripada kalangan penduduk tempatan.

Tambah beliau sekiranya berjaya memenangi PRN ini, mereka perlu memberi keutamaan kepada agenda memajukan kawasan dan kebajikan rakyat daripada terlibat dalam bidang lain.

“Menjadi keutamaan adalah orang tempatan sepatutnya, kalau tidak harapan saya orang yang dapat menunaikan janji dan laksanakan tugas kepada rakyat… kalau hendak jadi wakil rakyat juga mereka tidak perlu berniaga atau lakukan hal lain.

“Sebab sekarang kena jadi wakil rakyat yang profesional maknanya perkhidmatan dan bekerja untuk rakyat. Jangan pula hendak rakyat bekerja untuk dia lepas itu hendak berniaga dapat keuntungan, jadi ain-lain,” tegas beliau.

Jelas Azalina sekiranya situasi tersebut berlaku khidmat wakil rakyat tersebut akan terganggu kerana mereka tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada rakyat.

“Inilah gerakan perubahan reformasi yang akan mesti digerakkan oleh UMNO/BN memilih wakil rakyat profesional.

“Jangan ambil kesempatan kita bagi dia jawatan tapi harapkan pegar, pegar makan padi kemudian wujudkan dengan korupsi dan macam-macam… itu kita tidak mahu lagi.

“Kita hendak yang mana pengundi yakin ini yang dia pilih… inilah yang akan memberikan khidmat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.