Isu Pembukaan Sempadan Negara Dibincangkan Di Kabinet

BUTTERWORTH, 10 Feb – Pembukaan sempadan negara bukan isu mudah kerana melibatkan pelbagai kementerian dan perlu dibincangkan di peringkat Kabinet untuk dimuktamadkan, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 mengalu-alukan pengumuman Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari yang mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac.

“Antara kementerian yang terlibat termasuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan.

“Isu ini juga dibincangkan oleh pihak kami dan kami mengalu-alukannya, tetapi hal ini perlu dibawa ke Kabinet atau Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri untuk mendapat jawapan muktamad,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Muhyiddin mencadangkan pembukaan sempadan negara sepenuhnya seawal 1 Mac, tanpa memerlukan kuarantin mandatori bagi menyokong proses pemulihan ekonomi negara dan industri lain berkaitan dengan pelancongan.

Hishammuddin menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan tiada persefahaman antara Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 dan MPN berkenaan isu pembukaan sempadan negara.

“Kalau nak kata tiada komunikasi antara MPN dan Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19, itu tidak benar kerana ahlinya adalah orang sama cuma kedua-duanya tidak mempunyai mandat untuk membuat sebarang keputusan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Program Pengenalan Pesawat Helikopter AW 139 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan melawat projek naik taraf Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Pangkalan Udara Butterworth hari ini, yang turut dihadiri Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

Mengulas mengenai sewaan empat pesawat Helikopter AW 139 bagi menampung penugasan Helikopter NURI yang telah tamat operasi, Hishammuddin berkata ia mengguna pakai konsep kerajaan guna dan aset penyelenggaraan oleh syarikat (GOCOM) yang mana kesemua kos senggaraan pesawat berada di bawah tanggungjawab syarikat menyewakan helikopter iaitu Westar Aviation Services Sdn Bhd.

“Kaedah sewaan ini bukan sahaja lebih kos efektif berbanding melaksanakan pembelian helikopter baharu, malah membolehkan TUDM memanfaat aset diperlukan dalam tempoh masa lebih cepat.

“TUDM memilih Helikopter AW 139 ini kerana kemampuannya untuk melaksanakan operasi yang memberikan kepentingan taktikal, operasional dan strategik serta mampu dioperasi pada waktu siang dan malam,” katanya.

Tambahnya, penggantian Helikopter NURI telah dirancang untuk dilaksanakan bermula 2026 yang mana sejumlah 12 helikopter akan diperoleh pada fasa 1 (RMK-13 iaitu 2026 hingga 2030) dan seterusnya 12 helikopter lagi akan diperoleh pada fasa 2 (RMK-14 iaitu 2031 hingga 2035). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.