Hanya BN Mampu Kembalikan Kejayaan, Kemajuan Negeri Johor – Hasni

AYER HITAM, 10 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor Datuk Seri Hasni Mohammad berkata kejayaan dan kemajuan yang dikecapi oleh negeri itu sebelum ini adalah hasil sumbangan besar BN tetapi semuanya berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kata Pengerusi UMNO negeri itu, tidak ada gabungan parti lain yang telah berjaya dalam membangunkan negeri Johor dan kerana itulah BN perlu memenang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac nanti.

“Apa yang boleh disimpulkan penyebab kepada kenapa pilihan raya ini diadakan adalah kerana kita rakyat Johor, penyokong, penggerak dan pendokong BN pernah merasakan bagaimana negeri ini membangun.

“Begitu berjaya dari segi kedudukan kita, pencapaian, usaha-usaha dan dasar-dasar yang kita gubal untuk memajukan negeri Johor. Tetapi setelah berlakunya PRU-14 keadaan berubah, negeri Johor yang satu ketikanya begitu hebat, begitu banyak sekali cerita tentang kemajuannya sekelip mata telah hilang daripada keyakinan masyarakat,” kata Ketua Penyelaras PRN Johor itu.

Hasni berkata demikian dalam majlis taklimat dan penyerahan negeri angkat jentera BN bagi Zon Tengah di sini malam tadi.

Hadir sama Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengarah Pilihan Raya, presiden parti-parti komponen dan rakan gabungan, barisan kepimpinan peringkat pusat dan negeri serta jentera.

Jelas Menteri Besar itu lagi, walaupun beliau mempunyai masa yang lebih panjang jika tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), perkara demikian akan merugikan Johor kerana banyak peluang untuk memajukan negeri terjejas akibat ketidakstabilan kerajaan negeri sekarang.

“Bermula daripada 22 Januari tarikh dibubarkan DUN sehingga tarikh tamat lima tahun itu (tamat penggal) saya ada 481 hari lagi. Kenapa saya pendekkan 481 hari itu ialah kerana semakin hari semakin ketara gambaran bahawa negeri kita ini berada dalam keadaan yang banyak terlepas peluang kalau kita teruskan kerajaan sedia ada.

“Sebab itu mandat baru perlu kita peroleh. Mandat baru ini kita hendak serahkan semula kepada rakyat. Kita hendak menceritakan kepada rakyat apakah usaha, matlamat dan hala tuju yang sepatunya kita tujui, bukan dalam keadaan dalam sekarang,” katanya lagi.

Justeru, beliau berharap semua jentera berusaha keras menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat agar kejayaan negeri dapat dikembalikan.

Begitu juga Hasni mengingatkan kepada semua jangan dibuai dengan kemenangan demi kemenangan yang diperoleh dalam siri-siri pilihan raya sebelum ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.