BN Utamakan Calon Ada Pendirian, Setia… Kriteria Utama Bawa Agenda Rakyat – Youzaimi

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof memberi jaminan calon yang bakal mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor iaitu Dewan Undangan Negeri Endau dan Tenggaroh mempunyai pendirian dan setia dengan parti.

Beliau turut menjanjikan bahawa calon tersebut juga adalah bertepatan dengan kriteria seperti yang ditetapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu WALI.

“Insya-Allah, calon yang akan ditampilkan BN terutama di Endau wajiblah mempunyai kriteria WALI seperti mana yang selalu diingatkan oleh Presiden iaitu winnable, acceptable, likeable dan integrity.

“Kita akan pastikan calon DUN Endau ini tidak akan melompat parti UMNO jika dia menang seperti yang sebelum ini.

“Calon juga wajiblah daripada orang yang sudah ada jasa kepada masyarakat dan juga parti UMNO. Bukannya hanya pada musim-musim PRN dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) sahaja baru mereka muncul nak jadi calon,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau juga turut meluahkan keyakinan untuk BN mengekalkan dua kerusi dimenangi pada PRU ke-14 iaitu Dewan Undangan Negeri Endau dan Tenggaroh.

“BN Mersing sudah bersiap siaga harapan saya insya-Allah, kita akan menyumbangkan dua kerusi DUN iaitu Endau dan Tenggaroh bagi memastikan BN akan membentuk kerajaan di peringkat negeri dengan majoriti lebih daripada dua pertiga,” ujarnya.

Sementara itu Youzaimi juga berpandangan golongan muda menilai sebaiknya pengalaman mereka ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bukan hanya diperingkat Persekutuan malah di Johor.

Katanya, berbekalkan situasi ini anak muda semestinya akan bertindak dengan lebih rasional dan akan membandingkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang lebih bersistemik dan berpengalaman.

“Generasi muda dah serik dengan PH dan PN. Pengalaman dalam masa 22 bulan PH dan 18 bulan PN memerintah menjadikan mereka sudah serik utk mengundi parti ini.

“Saya lihat mereka tetap yakin dengan BN yang mempunyai rekod cemerlang mentadbir di peringkat negeri dan juga pusat.

“Kami di Mersing juga melakukan pelbagai program dan aktiviti untuk orang muda… sudah lama dilaksanakan bukan bermula sejak nak PRN sahaja,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.