Ahli PPBM Sertai UMNO, Parti Inklusif Tolak Sifat Kebencian – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 10 Feb – UMNO adalah sebuah parti yang inklusif dan atas dasar itu, parti berkenaan sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai parti terbesar orang Melayu ini selagi mana mereka ikhlas berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Demikian penegasan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika menerima borang kemasukan ahli Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Maran dan seterusnya berpandangan UMNO bukan milik sesiapa malah UMNO adalah milik bangsa dan ummah.

Kata beliau lagi yang juga Menteri Besar Pahang, meskipun ada pihak yang cuba menanam kebencian rakyat kepada Kerajaan Negeri, namun majoritinya masih rasional dan bijak menilai inisiatif serta gerak kerja yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“32 ahli PPBM Bahagian Maran yang diketuai oleh Ketua Srikandinya menemui saya bagi menyatakan hasrat untuk menyertai UMNO.

“Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, saya amat berbesar hati serta menghormati keputusan mereka. Keputusan mereka untuk menyertai UMNO adalah atas kesedaran mereka sendiri,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi, mereka juga menyatakan keyakinan dan kepercayaan bahawa UMNO mampu mentadbir negeri dan negara ini dengan baik.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya bersyukur kerana hasil kerja dan fokus Kerajaan Negeri dalam memajukan negeri serta membela kebajikan rakyat telah dihargai dan dipandang oleh rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.