Undi18 Peluang Golongan Muda Tentukan Kestabilan, Pilih Pemimpin Terbaik Di PRN Johor

 

JOHOR BAHRU, 9 Feb – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan berlangsung tidak lama lagi dan lebih 2.5 juta orang di Johor layak mengundi termasuk penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik.

Dengan peningkatan jumlah pengundi dalam kalangan anak muda ini, diharapkan golongan ini mampu melakukan perubahan dalam situasi politik semasa di Johor.

Bagi Ahmad Al–Mubarak Mohamed Kunyi, 24, Presiden Kelab UMNOSiswa yang juga  pelajar tahun akhir Universiti Malaya berkata PRN Johor adalah satu peluang yang terbaik bagi pengundi muda untuk mengundi dan memilih kepimpinan untuk mengemudi Johor ke arah lebih baik apatah lagi dengan pengaplikasian undi 18.

“Sudah tentu pengundi muda mahukan pemimpin ataupun parti yang mempunyai pencapaian cukup baik dan boleh menjamin kestabilan dalam negeri Johor dan seterusnya kestabilan masa depan generasi muda ini.

“PRN Johor adalah satu peluang yang terbaik bagi pengundi muda dan bagi yang kali pertama mengundi ini adalah laluan untuk memastikan Johor terus makmur, disegani dan maju.

“Kita sudah melalui satu fasa yang keadaan negara tidak stabil, berhadapan dengan pandemik dan sebagainya. Orang muda sudah jelak dengan keadaan negara, peluang-peluang seperti ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan memilih pemimpin yang terbaik dan parti yang boleh menjamin masa depan orang muda,” katanya.

Sementara itu Nur Syaeeza Abdullah, 25, pelajar tahun dua Sarjana Pendidikan Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM) menyokong diadakan PRN Johor kerana negara ini adalah sebuah negara yang demokrasi.

“Inilah masanya anak muda dapat menunjukkan dan menyuarakan apa hasrat mereka dengan saluran yang betul melalui undi kepada pemimpin yang dikehendaki.

“Anak muda inginkan pemimpin yang berkaliber dan dapat menjadikan Malaysia lebih baik seperti dulu, seperti ekonomi yang stabil, banyak peluang pekerjaan serta berharap negeri ini menjadi lebih baik pada masa akan datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Firdaus Kitanim, 25, pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berharap pada PRN Johor, parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat kembali mentadbir Negeri Johor.

“Saya melihat dan menilai antara kerajaan negeri yang dah mentadbir maka saya berharap sekiranya UMNO/BN diberi ruang dan peluang mentadbir Negeri Johor sekali lagi, kepimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad dapat membawa suara anak muda ke peringkat yang lebih tinggi.

“Paling penting sektor ekonomi dapat dibangunkan semula walaupun sekarang ini agak terjejas dan negeri Johor perlu bergerak atas tapak kaki sendiri iaitu bukan berharap dengan ihsan lain,” ujarnya.

Untuk rekod, kerajaan telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.