PRN Demi Kemakmuran Rakyat, BN Sedia Tangkis Tohmahan Pihak Lawan – Fuad

KUALA LUMPUR, 9 Feb – UMNO Bakri bukan sahaja telah menggerakkan segala keperluan dan perancangan untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru sahaja diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan (SPPR), malah turut bersedia untuk menangkis segala tohmahan yang akan berlegar sepanjang PRN nanti.

Ketua bahagiannya, Fuad Tukirin berkata tentunya antara tohmahan pihak lawan adalah berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga berlakunya PRN dan itulah penekanan serta fokus yang akan dijelaskan kepada rakyat kelak.

Tegas beliau umum sudah tahu bagaimana kedudukan DUN selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang menyebabkan kedudukan kerajaan negeri cukup goyah dan tidak stabil hingga menyukarkan perjalanan pentadbiran.

“Kerajaan negeri tidak stabil… ini antara penekanannya sehingga membawa kepada PRN. Kita berikan mandat semula kepada rakyat untuk menentukannya kerana kita mahukan sebuah kerajaan yang benar-benar dapat melaksanakan segala agenda untuk rakyat dengan lancar.

“Demi kemakmuran… saya tegaskan lagi sekali demi kemakmuran untuk Johor kita sanggup mengambil risiko. Walaupun pembangkang sebelum ini menyatakan mereka bagi kerjasama tetapi realiti dan hakikatnya amat sukar,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Pengumuman dibuat Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di sini hari ini.

Fuad seterusnya menegaskan dalam apa jua keadaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) meletakkan segala-galanya kepada rakyat dan atas dasar itulah parti berkenaan sanggup mengambil risiko supaya segala pembangunan dan semua agenda yang berkaitan dengan rakyat dapat dilaksanakan tanpa ada sebarang gangguan.

Tambahnya lagi, sebuah kerajaan yang stabil sudah pasti mampu memberikan yang terbaik untuk rakyat dan negeri Johor itu sendiri malah tohmahan yang dilontarkan adalah sekadar untuk mengelirukan masyarakat Johor semata-mata.

“Ini yang berlegar hari ini… dan kita percaya ini juga yang akan didendangkan oleh mereka sepanjang kempen nanti. Apa pun di Bakri kita bersedia sepenuhnya untuk memastikan kawasan yang ditandingi BN mencapai kemenangan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.