Lebih Baik Adakan PRN Daripada Bergayut Pada Satu Undi – Khaled

KUALA LUMPUR, 9 Feb – “Kalau dahulu dituduh sebagai pintu belakang maka tunjukkan bahawa kita bukan sebegitu bila ada peluang sebaiknya maka kita akan buktikan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.”

Demikian pandangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor seterusnya memberi laluan kepada PRN diadakan.

Katanya, PRN ini penting untuk memastikan kerajaan yang bakal dibentuk kelak adalah stabil dan bagi memastikan segala agenda kemajuan mahu dibawa dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kita tidak ada mandat kemudian jadi kerajaan hanya lebih satu undi sahaja jadi daripada bergayut dan lawan sesiapa yang menafikan tuntutan kita sebagai kerajaan pintu belakang maka PRN adalah yang terbaik.

“Walaupun satu undi kita pulangkan balik kepada rakyat, kita gentleman maknanya tidak bergayut kepada satu itu.

“Jika tidak, bekerjasama dan memenuhi apa sahaja kehendak pembangkang macam merasuah mereka, jadi lebih baik pulangkan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Sementara it, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu juga juga turut menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan PRN ini sebagai satu rancangan.

“PRN ini bukanlah dibuat tanpa ada apa-apa sebab atau dirancang begitu… tidak pernah menjangkakan ada kematian dan dengan keadaan hanya kelebihan satu kerusi kita tahu bahawa kerajaan tidak stabil dan tumpuan kerajaan sudah tentu tidak dapat diberikan.

“Semua tahu bahawa kerajaan yang ada ini bukanlah atas mandat yang dapat daripada rakyat tapi ketika itu terpaksa menerajui dan menggerakkan kerajaan kerana keadaan wabak yang dihadapi,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.