Harga Barang: Zahid Gesa Tindakan Signifikan Bantu Rakyat… Zaman BN Dah Rangka Pelbagai Akta

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggap pengumuman harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen belum cukup signifikan untuk membantu rakyat berdepan kenaikan kos sara hidup.

Tegasnya, isu berhubung peningkatan kos pengeluaran barang keperluan yang sering dijadikan alasan harus diperhalusi bagaimana untuk menanganinya.

“Jika isu harga barang keperluan ini tidak ditangani dari sekarang, kita khuatir ia akan berlarutan untuk tempoh yang lebih lama sekali gus terus menekan rakyat.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa mentadbir negara telah merangka pelbagai akta, peraturan, undang-undang untuk berdepan permasalahan tersebut. Gunakan sebaik mungkin,” katanya yang juga Pengerusi BN menerusi laman facebooknya berkaitan isu terbabit, hari ini.

Jelasnya, keputusan dibuat pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) itu malah berdepan sindiran sinis sebilangan rakyat Malaysia kerana sepatutnya ada solusi yang jauh lebih konkrit oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengurangkan harga barangan.

Begitu juga katanya, peranan lebih cemerlang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menangani isu yang sama.

“Sehingga hari ini kita belum lihat penurunan ketara harga barangan. Selain telur, harga ayam bersih standard masih antara RM8 hingga RM9 sekilogram. Begitu juga harga ikan, daging, sayur masih tinggi.

“Pelbagai inisiatif yang diumumkan untuk mengurangkan harga barang sebelum ini termasuk mengimport ayam belum terlihat keberhasilannya.

“Justeru, harga telur dikurangkan 20 sen bukan suatu perkhabaran yang melegakan. Rakyat perlukan sebuah ketetapan yang menyeluruh untuk membantu kehidupan mereka.”

Terang Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, lontaran ini bukan bertujuan menuding jari, sebaliknya menyampaikan suara rakyat yang masih resah berdepan peningkatan harga barang keperluan.

“Kita berharap kerajaan sedia ada dapat melakukan suatu tindakan yang jauh lebih berani dan berkesan dalam menyantuni permasalahan rakyat ini.”

“Begitu juga tentang dakwaan isu ‘orang tengah’ dan manipulasi bekalan oleh pihak tertentu untuk menetapkan harga tinggi wajar diteliti sebaik mungkin.

“Selepas sambutan Tahun Baharu Cina, tidak lama lagi negara akan menyambut ketibaan Ramadan dan seterusnya meraikan sambutan Aidilfitri.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.