Zahid Anggap Gaji Minimum RM1,500 Sebulan Tepat, Sangat Diperlukan

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap keputusan Kerajaan untuk menaikkan gaji minimum menjadi RM1500 sebulan adalah sesuatu yang tepat pada masanya dan sangat diperlukan.

Namun demikian perkara ini ditolak oleh Persatuan Majikan Malaysia (MEF) menerusi Presidennya Datuk Syed Hussain Syed Husman yang berpendapat bahawa langkah tersebut akan membebankan majikan yang baru sahaja hendak bernafas semula akibat COVID-19 dan kelembapan ekonomi.

Dalam hal ini, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menghargai dan menghormati pandangan tersebut tetapi percaya ia perlu melihat dalam konteks yang lebih besar dan kritikal.

“Saya sedar perkara ini akan sedikit sebanyak memberikan kesukaran kepada para majikan tapi gaji minimum adalah tanggungjawab moral majikan.

“Namun, kita tidak boleh menunggu sehingga semua majikan untuk bersetuju dan hanya apabila mereka berasa selesa atau ‘bersedia’ untuk melakukannya. Perkara ini ada sesuatu yang mesti dimulakan. Alah bisa, tegal biasa.

“Jika kita terus menunggu dan menunggu, tidak akan ada masa yang sesuai dan selesa untuk majikan menaikkan gaji minimum,” katanya dalam hantaran menerusi laman facebooknya.

Pada masa yang sama, beliau yakin semua majikan mempunyai bukan sahaja tanggungjawab sosial, tetapi tanggungjawab moral kepada para pekerja dan masyarakat secara amnya.

“Bantulah negara ini dengan membantu mereka yang paling hampir dengan kalian – para pekerja di bawah. Inilah masanya untuk kita menggandakan usaha membudayakan ekonomi humanistik yang lebih manusiawi dan meninggalkan perkara yang berbentuk eksploitasi. Sekali gus mengukuhkan amalan ekonomi yang beretika dan berteraskan rakyat.

“Saya harap pihak MEF dan semua majikan secara amnya akan memperhalus isu ini dan menzahirkan empati yang lebih mendalam kepada para pekerja di luar sana. Layan dan hargailah titik puluh mereka dengan cara yang lebih adil dan bermaruah.

“Semoga gaji minimum RM1500 akan menjadi realiti, tidak lama lagi.”

Sebelum itu beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memaklumkan apabila gaji minimum dinaikkan, akan ada beberapa impak domino yang segera, misalnya;

a. Peningkatan kuasa beli orang awam, khususnya dalam kalangan B40. Ia membolehkan mereka menikmati kehidupan yang lebih selesa dan berkualiti.

b. Perbelanjaan dalam ekonomi negara akan bertambah sekali gus meningkatkan kecairan dalam pasaran serta membantu para peniaga di dalam negara. Dengan gaji yang rendah, perbelanjaan akan sedikit sekali gus menyebabkan aktiviti jual beli semakin suram.

c. Memberikan ruang yang lebih baik untuk para pekerja menguruskan perbelanjaan dan keperluan harian mereka. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit