Wanita UMNO Pelbagaikan Bentuk Kempen, Sesuaikan Dengan Situasi Semasa – Norshida

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diumumkan tarikhnya oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok, Penerangan Wanita UMNO Johor terus giat melaksanakan pelbagai persiapan dan juga perancangan bagi memastikan kelancaran jentera pilihan raya kelak.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online menyatakan apa jua perancangan perlu dilaksanakan sebaik mungkin termasuklah soal kempen secara maya dan sebagainya dalam usaha membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) kelak.

“Alhamdulilah, semalam bersama-sama dengan Ketua-Ketua Penerangan Wanita Bahagian serta jentera Penerangan Wanita seluruh Johor. Selama sehari Jentera Penerangan Wanita diberikan kursus asas digital agar Wanita boleh memperhebat kempen kepada rakyat.

“Dalam politik, wanita mesti menggunakan kelebihan DQ untuk menjadi pemimpin yang bertransformasi dan berinovatif serta mampu memiliki ‘political quotient’ kita sendiri. Ia penting untuk memastikan cara kita berfikir, cara kita bertindak, dan cara kita memberi maklum balas pada rakyat, agar sentiasa matang, ‘up to date’ dan terpimpin,” katanya.

Kata beliau lagi, segala kelebihan yang ada perlu digunakan sebaiknya dan sehingga ke hari ini segala-galanya berjalan mengikut perancangan.

“Kita sudah memiliki sentuhan, kerana itu pihak lawan takut dengan gerak kerja kita di akar umbi, namun dalam era politik millenia, kita kena bijak bertindak. Wanita walau digelar ‘mak cik’ dan ‘atuk’ mesti celik dan peka mengendalikan aplikasi digital, mesti hebat kempen online

“Tahniah buat Hajah Rahana Ana Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor yang berjaya melaksanakan program seumpama ini. Semoga Allah memudahkan segala urusan gerak kerja Wanita UMNO dan seluruh jentera UMNO demi kemenangan besar BN pada PRN nanti,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.