PRN Johor: Manfaat Demi Masa Depan, Imej Baharu UMNO

1. Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 sewajarnya dimanfaatkan oleh pucuk pimpinan UMNO hari ini untuk memaparkan imej baharu serta gambaran masa depan parti yang lebih ampuh dan malar segar.

2. Peluang ketika PRN ini haruslah dijadikan sebagai sebahagian pendekatan UMNO, bukan sahaja dalam berdepan dengan kehendak realiti politik semasa.

3. Malah, pendekatan ini boleh digunapakai sebagai strategi jangka masa panjang bagi parti mendepani cabaran serta perubahan landskap politik mendatang.

4. PRN di Johor kali ini juga boleh dimanfaatkan UMNO sebagai kesempatan terbaik untuk menonjolkan bakat-bakat baharu yang kini berada di pelbagai peringkat dan struktur kepimpinan parti, sebagai usaha untuk memaparkan imej baharu parti yang malar segar, selain cerminan masa depan UMNO yang tampak lebih diyakini.

5. Ini sekaligus dapat menepis dakwaan yang kononnya UMNO ini dikawal oleh kelompok atau kumpulan tertentu. Lebih-lebih lagi apabila banyak pihak yang mendakwa kononya PRN di Johor sengaja diadakan untuk memenuhi agenda politik peribadi ‘kluster mahkamah’ yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin utama parti.

6. Berdasarkan realiti serta kehendak politik semasa, UMNO tidak lagi mampu dengan hanya bersandar kepada retorik perjuangan politik bangsa dan agama semata-mata untuk terus menggamit keyakinan dan kepercayaan rakyat dan pengundi.

7. UMNO perlu membuka peluang kepada bakat-bakat yang mampu menjadikan UMNO sebagai sebuah parti politik yang bukan sahaja peka, malah efektif dan berkesan dalam membawa perubahan kepada dasar-dasar awam penting yang memberikan kesan langsung kepada aspek kehidupan rakyat.

8. Seiring dengan pelaksanaan Undi18, UMNO perlu mengambil langkah berani untuk memikat hati dan minda pengundi anak muda. Justeru, UMNO wajar membuka peluang kepada bakat-bakat baharu untuk membina kewibawaan dalam memperjuangkan isu-isu yang dekat kepada keperluan anak muda dan masa depan mereka seperti peluang pekerjaan berkualiti, ketahapmampuan untuk memiliki rumah dan juga beberapa aspek yang menyentuh mengenai kualiti hidup.

9. Bakat-bakat baharu dalam UMNO ini juga perlu berperanan untuk membina kredibiliti parti dalam memperjuangkan isu-isu yang lebih besar dan bersifat universal.

10. Ini termasuklah isu seperti perubahan iklim, kewujudan kelompok kemiskinan baharu, adaptasi teknologi dalam pelbagai aspek kehidupan rakyat, mengeset semula asas serta struktur ekonomi, tadbir urus cekap dan integriti, selain hal-hal berkaitan akses dan kualiti pendidikan untuk anak-anak.

11. PRN di Johor kali inilah wajar dimanfaatkan peluang dan kesempatannya oleh UMNO bagi menambat kembali keyakinan pengundi, sebagai membuktikan bahawa parti ini mampu dan bakal berubah kerana berjaya memahami kehendak dan pengharapan massa demi kepentingan negara.

NOOR AZLEEN AMBROS
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang
Exco Pemuda UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.