PRN Johor: Beberapa Bahagian UMNO Hantar Permohonan Bertanding – Ahmad Maslan

PONTIAN, 8 Feb – Beberapa bahagian UMNO Johor telah menghantar permohonan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah ditandingi parti komponen Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata permohonan itu akan diteliti dan diputuskan pucuk pimpinan negeri serta pusat tanpa menjejaskan hubungan antara parti komponen BN.

“Beberapa bahagian UMNO menyuarakan pandangan berhubung isu ini. Bukan sahaja di (DUN) Pulai Sebatang tetapi ada satu dua tempat lain di Johor,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Jamuan Muhibbah sempena Tahun Baharu Cina anjuran MCA Bahagian Pontian di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan Ketua MCA Bahagian Pontian Datuk Tee Siew Kiong.

Bulan lepas, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN pada PRN Johor namun belum mengambil kira kerusi bagi parti komponen BN yang lain.

Ahmad berkata calon BN bagi PRN tersebut akan diputuskan dalam masa terdekat.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Hasni yakin dapat membangunkan ekonomi Pontian sekiranya rakyat memberi mandat kepada BN untuk mengemudi negeri itu pada PRN Johor.

Beliau berkata melalui pengalamannya menerajui negeri itu hampir dua tahun, beliau telah memikirkan cara terbaik bagi tujuan tersebut sekali gus menjadikan daerah berkenaan sebagai antara penyumbang ekonomi terbesar Johor.

“Dengan peluang singkat yang saya ada, saya sudah memikirkan bagaimana Pontian dapat dibangunkan seterusnya menjadikan daerah yang cukup besar sumbangannya kepada kemajuan negeri ini,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

Sebelum ini, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Hasni akan dipilih sebagai Menteri Besar Johor yang baharu sekiranya BN menang pada pilihan raya negeri itu.

PRN Johor diadakan susulan pembubaran DUN itu pada 22 Jan lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan esok. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.