UMNO Sentiasa Bersedia, Terkehadapan Jaga Kepentingan Rakyat

LABUAN, 7 Feb – Jentera UMNO di seluruh negara bersiap siaga dalam segala aspek bagi memastikan parti itu terus ‘bangun’ dan relevan di hati rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata UMNO juga telah mempersiapkan jentera di semua peringkat demi memastikan ia bergerak sehingga akar umbi bagi mendalami kesusahan serta rintihan rakyat.

“UMNO akan menggunakan apa juga platform untuk mengangkat segala isu membelenggu rakyat ke peringkat tertinggi untuk penyelesaian.

“UMNO sejak dari dahulu diketahui membela untung nasib rakyat, sama ada ketika dalam pemerintahan kerajaan atau selepas kalah dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan UMNO Labuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata antara fokus dan agenda jentera UMNO adalah bertemu dengan pengundi muda yang memerlukan penjelasan mengenai perkembangan politik tanah air.

“Pengundi golongan muda bakal mengundi dalam PRU akan datang, sudah semestinya jentera UMNO harus mendampingi mereka ini untuk memahami kehendak mereka yang jelas masih memerlukan bimbingan,” katanya.

Ketua UMNO Sabah itu berkata gerak kerja UMNO juga akan diperluas ke arah mendalami platform media sosial yang menjadi platform kegemaran golongan muda. – BERNAMA