PRN Johor: Pemilihan Semula Hasni Bakal Calon MB Amat Bertepatan – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Wanita bersetuju seratus peratus dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) yang akan menamakan kembali Datuk Hasni Mohamad sebagai Menteri Besar jika mandat majoriti yang akan diberikan oleh rakyat terhadap BN bagi mengemudi Kerajaan Johor.

Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim berkata kestabilan dan kemakmuran sangat diperlukan dan inilah yang diutamakan oleh BN dengan meletakkan Hasni kembali untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri kelak.

Kata beliau lagi, langkah berkenaan juga membuktikan BN amat stabil malah pada masa yang sama memperlihatkan ianya tidak mempunyai permasalahan dalam struktur organisasi sekaligus mampu menggarap kemakmuran untuk kebajikan rakyat negeri Johor.

“Kita juga berkeyakinan Datuk Hasni mampu menambat hati keseluruhan pengundi terutamanya golongan Undi 18 yang akan turun mengundi buat kali pertama dalam Pilihan Raya Negeri Johor.

“Menerusi agenda dan dasar beliau sedia ada sebelum ini, ianya dapat diteruskan dengan fokus utama menjurus ke arah pembangunan negeri Johor menerusi segenap peringkat masayarakat Johor,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi, pengalaman Hasni juga lengkap dengan pakej yang berkarisma menangani beberapa krisis termasuklah mengemudi kerajaan dengan tenang dan bijaksana walaupun hanya majoriti dua kerusi sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ramai penganalisis percaya dan menyakini kewibawaan beliau mampu meraih sokongan majoriti rakyat. Pemilihan pucuk pimpinan mengenai soal ini dilihat tiada tandingan menerusi jangkaan Pakatan Harapan (PH) yang akan meletakkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik sebagai calon MB Johor.

“Secara umumnya ini peluang besar BN kerana kredibiliti calon Pakatan Harapan (PH) yang sukar diterima oleh keseluruhan rakyat johor. Semoga rakyat turun mengundi dengan pilihan yang bijak bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terbela,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.