“Nak Menang, Buat Cara Nak Menang,” Pesan Tok Mat Hasan

PAGOH, 7 Feb – “Nak menang buat cara nak menang, jangan nak menang asyik bergesel dan bersepak macam-macam. Buangkan apa saja kepentingan-kepentingan selain untuk menang pilihan raya.”

Demikian pesan Pengarah Pilihan Raya bagi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan kepada jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malam tadi.

Tegasnya, setiap jentera perlu berusaha keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN serta mengenepikan segala sikap penting diri termasuk unsur khianat dan sabotaj kepada parti. 

“Jangan mengkhianati sesiapa, jangan cakap kita khianat kita pujuk. Di Melaka kita pujuk, berunding tetapi pinangan kita ditolak ke tingkap kerana menyatakan BN tidak boleh menang. Dengan senang hati BN mentadbir Melaka tanpa ada gangguan mana-mana pihak.

“Kita menang pilihan raya kerana kita bersama, kita menang pilihan raya kerana bersungguh-sungguh untuk menang, jangan berselisih faham kerana banyak kerusi yang kalah pada PRU (Pilihan Raya Umum) ke 14 kerana berselisih faham dan mensabotaj sesama sendiri,” kata Timbalan Pengerusi BN itu.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran Jentera BN Zon Utara PRN Johor 2022 di Dewan Seri Pekembar di sini Ahad malam.

Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN Johor merangkap Ketua Penyelaras PRN Johor, Datuk Hasni Mohammad, Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong, Naib Presiden MIC, Datuk M. Asojan serta Pengerusi-pengerusi ‘Friends of BN’.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berharap agar jentera BN jangan mengulangi kesilapan lalu dan perbaiki kesilapan demi kemenangan BN pada PRN Johor ini.

“Jangan ulangi kesilapan kita pada masa-masa lalu. Kalau ini dapat dielakkan dan susun gerak kerja dengan baik, Insya-Allah… tiada siapa yang boleh menghalang kemaraan kebangkitan BN di negeri Johor.

“Jangan bergaduh dengan orang, kita buat kerja senyap-senyap dan buat kerja betul-betul dan yang penting nanti kita boleh menang sekurang-kurangnya 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya ini. Saya berharap dan berdoa pada PRN Johor ini zon utara akan lebih cemerlang daripada zon-zon lain… Insya-Allah,” jelasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.