Masuk UMNO Semula Boleh, Tapi Bersyarat, Kata Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan untuk menerima kemasukan bekas ahli menyertai parti ini semula.

Katanya, ini kerana parti keramat ini sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat serta keharmonian negara dan oleh itu sentiasa terbuka menerima penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“UMNO adalah gerakan menabur bakti dan kebaikan… pintunya terbuka untuk semua. Tanpa mengira latar umur dan asal usul.

“Namun, andai mereka yang meninggalkan UMNO dan berhasrat kembali, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Namun, parti ini mesti berlaku adil dan tegas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menambah mereka yang mahu kembali bersama UMNO setelah bertindak keluar parti perlu melalui prosedur seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

“Proses penerimaan semula mesti melalui proses seperti dalam perlembagaan UMNO. Diterima hanya sebagai ahli biasa. Tanpa syarat… tanpa keistimewaan atau kelebihan. Ingat, UMNO adalah gerakan menabur bakti dan kebaikan,” tegas beliau.

Terdahulu, terdapat ura-ura yang menyatakan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor akan mengumumkan kembali menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan bekas ADUN Larkin Datuk Mohd Izhar Ahmad telah keluar dari PPBM dan menyeru rakyat menyokong BN di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.