Jangan Ambil ‘Enteng’ PRN Johor, Suasana Berbeza Dengan Melaka – Ahmad Zahid

PAGOH, 7 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kepada semua agar tidak ambil mudah dan sentiasa bersedia berhadapan dengan serangan lawan terhadap parti.

Ini kerana di dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), landskap politik Johor cukup berbeza dengan Melaka dan ianya perlu dinilai secara berasingan.

“Kita lihat PRN Johor bukan satu pilihan raya yang mudah, jangan pernah ambil ‘enteng’, jangan pernah ambil ringan. Benar… kemenangan di Melaka memberi semangat pada kita, suasana politik di Melaka berbeza suasana politik di Johor.

“Jangan pernah ada dalam zon selesa, kita harus bersiap siaga. Jentera parti, Wanita, Pemuda dan Puteri. Jentera BN, PDM (Pusat Daerah Mengundi), lokaliti mesti disiapsiagakan, insya-Allah kemenangan ini akan merupakan hadiah besar seluruh jentera BN kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jentera BN Zon Utara PRN Johor 2022 di Dewan Seri Pekembar di sini Ahad malam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi BN Johor merangkap Ketua Penyelaras PRN Johor, Datuk Hasni Mohammad, Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong, Naib Presiden MIC, Datuk M. Asojan serta Pengerusi-pengerusi ‘Friends of BN’.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut menambah Johor masih lagi menjadi ‘simpanan tetap’ parti berikutan sokongan yang begitu utuh dan mempunyai rekod pencapaian yang terbaik.

“Saya berhasrat di bawah kepimpinan Datuk Hasni Mohammad didokong oleh Ketua-ketua UMNO Bahagian maka beliau akan mencatatkan rekod terbaik Johor sebagai ‘fixed deposit’ dan ramai tokoh-tokoh Johor dapat membantu.

“Harapan saya siapa yang bakal menjadi calon di pilihan raya akan datang mewakili BN dapat mengenepikan jawatan-jawatan di dalam parti atau mewakili parti-parti BN dan itu adalah sebagai pentas untuk menentukan bahawa calon BN akan diterima.

“Saya yakin ramai muka-muka baharu akan diketengahkan. Ramai juga calon-calon muda akan turut diketengahkan dan juga calon-calon profesional dan tidak ketinggalan Wanita, Pemuda dan Puteri,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan