UniKL Pacu Pemerkasaan TVET Melalui Perkongsian Sumber, Kepakaran – Mahdzir

PUTRAJAYA, 6 Feb – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersedia memainkan peranannya untuk memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan berkongsi sumber, kepakaran dan peralatan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata tiga institusi pendidikan TVET Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), UniKL terlibat di bawah inisiatif Hub Kolaborasi TVET

Institusi terlibat ialah UniKL-Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL-MIAT) di bawah Kluster Integrasi Sistem Avionik dan Komunikasi Satelit, manakala UniKL Malaysia France Institute (UniKL MFI) dan Pusat Rel Asia UniKL di bawah Kluster Automasi dan Robotik Industri.

“UniKL bersedia memainkan peranan yang dimandatkan, dalam memacu kolaborasi bersinergi antara institusi TVET, kerajaan dan industri menerusi perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan bagi pemerkasaan TVET,” katanya.

Pada 3 Feb, mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersetuju dengan pelaksanaan ‘TVET Collaboration Hub’ melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan Kementerian Pengajian Tinggi.

Mesyuarat itu turut memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) dalam usaha kerajaan memperkasa ekosistem aliran berkenaan, seterusnya menjadikannya pilihan utama belia.

Menurut Mahdzir, KPLB mempunyai 279 institusi pendidikan TVET di seluruh negara yang mempunyai kekuatan dan mengikut padanan dengan keperluan industri.

Beliau berkata kolaborasi TVET KPLB dengan pihak industri, dijalinkan melalui pemeteraian 227 memorandum persefahaman (MoU) yang berstatus aktif.

Kolaborasi merangkumi pembekalan teknologi terkini, kepakaran dan latihan secara profesional, pembangunan program, tenaga pengajar dan pelatih, pemindahan teknologi dan pengetahuan, peningkatan kemahiran dan latihan semula.

“Kolaborasi ini akan memastikan semua pelatih TVET KPLB dilengkapi kemahiran kebolehpasaran yang tinggi, mengikut keperluan industri dengan kadar upah yang tinggi,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.